MPM bersihkan ‘rumah sampah’
Pantai Remis – Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah mengambil tindakan pembersihan sebuah rumah yang dipenuhi sampah, barangan lusuh dan barangan terpakai di Taman Bintang semalam.
Kerja-kerja pembersihan bermula pada pukul 8.30 hingga 11.00 pagi susulan aduan yang diterima daripada penduduk taman berkenaan berkaitan keadaan persekitaran rumah yang kotor dengan dipenuhi sampah dan pelbagai barangan lusuh hingga menyebabkan gangguan kepada jiran-jiran di sekeliling.

Kerja-kerja pembersihan tersebut meliputi kawasan hadapan tepi dan lorong belakang kediaman tersebut dan dibantu oleh sebuah lori kompektor, jengkaut dan lori roro (roll on-roll off).
Aktiviti pembersihan ini disertai 18 anggota Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar dan 6 anggota Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPM.
Sebelum ini, MPM telah mengeluarkan dua kali notis kacau ganggu kepada pemilik rumah supaya membersihkan kawasan rumah daripada sampah sarap tersebut. Kemudian, MPM sekali lagi mengeluarkan kompaun kepada pemilik rumah kerana gagal mematuhi arahan notis yang telah diberikan.

Tindakan memberikan notis tersebut dibuat berdasarkan Seksyen 46(1)(D), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana meletakkan barang-barang kitar semula di lorong tepi dan di hadapan premis yang menyebabkan halangan dan kacau ganggu bau di tempat awam.
MPM memohon kerjasama masyarakat di daerah Manjung agar sentiasa menjaga kebersihan persekitaran kediaman dan tidak mengumpulkan sampah sarap kerana ianya boleh menyebabkan kacau ganggu serta menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes yang boleh mengakibatkan demam denggi.
Foto | Majlis Perbandaran Manjung