Seri Manjung – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia telah melancarkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 dan lagu Cuti-Cuti Malaysia versi kedua pada semalam Selasa, bersamaan 17 May 2022.
Pelan ini adalah salah satu usaha dari pihak MOTAC dan Tourism Malaysia untuk menyemarakkan aktiviti pelancongan domestik seiring peralihan ke fasa endemik.
Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 ini juga merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0), adalah salah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.
Pemberian diskaun, baucar dan rebat yang bermula pada 29 April 2022 lalu melibatkan dua kluster iaitu Kluster Pengangkutan Darat dan Kluster Persatuan Pelancongan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, pelancaran pelan ini bertujuan menarik minat orang ramai untuk terus membuat tempahan tiket pengangkutan atau pakej pelancongan pada harga diskaun istimewa.
Menurut Nancy lagi, Inisiatif ini bakal diperluaskan secara berperingkat melibatkan Kluster Pengangkutan Udara dan Kluster Penginapan selain Kluster Pelancongan Minat Khas merangkumi segmen selam skuba, inap desa, beli-belah dan taman tema.
“Langkah ini seterusnya mampu merangsang permintaan industri pelancongan untuk menyokong mereka yang terjejas agar kekal berdaya saing,” katanya.
Rakyat Malaysia boleh mendapatkan diskaun sebanyak RM100 untuk satu transaksi pembelian pakej pelancongan bernilai RM200 ke atas bermula pada 29 April 2022 yang lalu sehingga 31 Oktober 2022 ini, bagi tempoh perjalanan sehingga 31 Disember 2022.
Setiap pengguna atau pemegang MyKad layak untuk menebus sekali sahaja diskaun ini dan pembelian perlu dibuat melalui Shopee Pay.

Dalam waktu yang sama, MOTAC dan Tourism Malaysia turut melancarkan lagu Cuti-Cuti Malaysia versi kedua yang bertajuk ‘Menemui Semula’ nyanyian oleh Aina Abdul.
Lagu tersebut bergenrekan pop etnik dengan kombinasi aliran world music, hip hop dan electronic dance music (EDM) dan lirik lagu ditulis oleh James Boyle hasil gubahan komposer Ananth Kumar.
Ia menggabungkan alunan muzik tradisional seperti seruling, gamelan, erhu, kompang dan gendang selain menyelitkan mesej penerokaan pengalaman melancong di dalam negara sambil menikmati khazanah alam semula jadi.
Foto | Motac