Momota menanti Lee Zii Jia di suku akhir

Seri Manjung – Pemain ranking ke-7 dunia, Lee Zii Jia semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan badminton All England apabila menewaskan Brian Yang (Kanada) dengan keputusan 26-24, 21-11 dalam masa 45 minit malam tadi.

Lee Zii Jia bakal berdepan ujian getir hari ini apabila akan berhadapan pilihan kedua kejohanan yang juga pemain ranking ke-2 dunia, Kento Momota pada suku akhir di Birmingham.

Momota berada dalam prestasi yang terbaik setelah menewaskan pemain Korea Selatan, Heo Kwang-hee dengan keputusan 21-16, 21-12. Sebelum ini Momota tewas dua kali berturut-turut di tangan pemain berusia 26 tahun itu pada Sukan Olimpik di Tokyo dan Pusingan Akhir Piala Thomas di Aarhus, Denmark.

Pemenang perlawanan suku akhir tersebut bakal bertemu pemain sedang meningkat naik dari India, Lakshya Sen atau Lu Guang Zhou dari China pada separuh akhir.

Pemain ranking pertama dunia, Viktor Axelsen dari Denmark yang memburu tiket final All England buat kali keempat berturut-turut akan bertemu pilihan kelima, Anthony Ginting dari Indonesia, manakala jaguh Taiwan dan pilihan keempat, Chen Tien Chou menentang pilihan ketujuh, Jonatan Christie juga dari Indonesia.

The Dindings Ledger

The Dindings Ledger (TDL) adalah portal berita yang diwujudkan oleh beberapa anak muda yang berasal dari Seri Manjung, Perak. Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada penduduk daerah Manjung mengenai perkembangan negara khususnya di daerah Manjung.