MFL ubah jadual Liga M
Seri Manjung – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah membuat perubahan terhadap kalendar pertandingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022 dengan penyelarasan semula baki perlawanan musim ini.
Perubahan tersebut dibuat atas beberapa faktor, penelitian dan pertimbangan oleh badan pengelola Liga M itu berdasarkan penyertaan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) serta penglibatan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam kancah Piala AFC.
Ketiga-tiga kelab tersebut berjaya meneruskan cabaran dalam pertandingan antarabangsa itu sekali gus memberikan kesan kepada penjadualan asal Liga Super dan Piala FA 2022 malah latihan pasukan kebangsaan pada bulan September ini.
Perubahan jadual Liga Malaysia kali ini turut melibatkan perancangan pasukan kebangsaan untuk mengadakan latihan pusat serta tempoh ‘FIFA Days’ pada September depan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Piala AFF yang akan berlangsung pada Disember 2022 dan juga Piala Asia 2023 pada tahun hadapan.
Faktor terakhir yang diambil kira MFL adalah membabitkan perlawanan peringkat suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir Piala FA 2022 di mana berdasarkan undian yang telah dilaksanakan pada 4 Julai 2022, semua kelab yang layak ke peringkat suku akhir dijadualkan bermain pada 23 Julai 2022 nanti.