MetMalaysia – Angin kencang & laut bergelora
Seri Manjung – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di sekitar perairan negara yang melibatkan beberapa buah negeri sehingga Khamis ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini (Isnin), Amaran Kategori Ketiga melibatkan angin kencang timur laut melebihi 60 kilometer sejam (km/j) dengan ombak melebihi 4.5 meter di kawasan perairan Sabah Barat, Labuan dan Sabah Timur.
Amaran yang sama turut dikeluarkan melibatkan kawasan perairan tenggara Reef North, Labuan, Timur Palawan dan Sulu, yang dijangka berlaku sehingga Selasa dan berbahaya bagi aktiviti perkapalan.
Amaran Kategori Kedua melibatkan fenomena angin kencang berkelajuan 50 hingga 60 km/j dengan ombak setinggi 4.5 meter dan ianya dikeluarkan di perairan Sarawak yang dijangka berlaku sehingga 29 Disember ini.
Kawasan yang terlibat ialah perairan Condore, Bunguran Utara, Reef North, Reef South, Layang-layang dan Barat Palawan. Keadaan laut ketika ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
Bagi Amaran Kategori Pertama, angin kencang berkelajuan 40 hingga 50 km/j dengan ketinggian ombak 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga Khamis ini.
Amaran tersebut melibatkan kawasan perairan Tioman dan Bunguran Selatan dan ianya berbahaya kepada bot-bot kecil, aktiviti laut.