Messi dan Neymar diejek penyokong PSG
PARIS – Lionel Messi dan Neymar menjadi sasaran ejekan daripada penyokong Paris Saint-Germain (PSG) ketika perlawanan liga menentang Bordeaux yang berlangsung di Stadium Parc des Princes pada Ahad.
Mereka berdua diturunkan dalam perlawanan menentang Bordeaux dan tidak henti-henti diejek oleh penyokong tuan rumah setiap kali menyentuh bola.
Dalam perlawanan tersebut, Mbappe meletakkan PSG 1-0 di hadapan pada minit ke-24 dan golnya menceriakan penyokong tuan rumah.
Neymar kemudian membalas ejekan tersebut dengan menggandakan jaringan untuk PSG mendahului 2-0 pada minit ke-52, tetapi tidak meraikan jaringannya dan hanya mempersendakan penyokong PSG.
PSG memenangi perlawanan menentang kelab tercorot liga itu dengan keputusan 3-0 dengan Leandro Paredes menambah gol ke-3 PSG sekaligus gah mendahului Ligue 1 dengan 65 mata, berkelebihan 15 mata mengatasi pencabar terdekat, Nice yang mengumpul 50 mata setakat perlawanan minggu ini.
Satu kumpulan yang dikenali sebagai ‘Collectif Ultras Paris’ mengeluarkan kenyataan di Twitter dan mempersoalkan hala tuju kelab tersebut.
“Kelab kami (PSG) berhak untuk mendapatkan individu yang bersedia untuk berkhidmat dan bukan untuk melayan kerenah mereka. Kami akan menunjukkan rasa ketidakpuasan hati dan meminta mereka yang sayangkan kelab ini (PSG) hadir dan bersatu membantu kami.”
Peminat PSG berasa marah apabila kelab meraka disingkirkan oleh Real Madrid pada pusingan kalah mati. Mendahului 1-0 hasil perlawanan pertama, Mbappe kemudian menjadikan kedudukan 2-0 untuk pasukan Ligue 1 itu sebelum Karim Benzema menjaringkan hatrik yang menakjubkan untuk membawa Madrid ke suku akhir.
Gergasi Perancis itu terlepas satu lagi peluang untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah walaupun pelaburan mewah dibuat di bawah pemilikan Qatar Sports Investments.
Foto: Twitter