Tapah – Mayat juruterbang helikopter Eurocopter EC120B yang dilaporkan hilang dari radar semalam (Ahad) telah ditemui oleh pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekitar jam 9.30 pagi tadi.
Mayat Tsz Kin Richard Chan yang merupakan warganegara Hong Kong berjaya dibawa keluar oleh pasukan penyelamat dari kawasan Hutan Simpan Chikus sekitar jam 10.12 pagi, 22 jam selepas helikopter berkenaan dilaporkan hilang.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, mayat mangsa ditemui di bahagian kokpit helikopter tersebut dan bekerja dengan syarikat penerbangan swasta tersebut.
“Mayat kemudian dibawa menaiki helikopter dan dihantar ke padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh dan dibawa menaiki ambulans ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Mayat telah dibawa ke HRPB dan kita akan menunggu laporan daripada pihak hospital dan kita akan tahu tahap kecederaan yang dialaminya,” kata Mohd Yusri.
Bangkai helikopter tersebut akan diserahkan kepada CAAM untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, helikopter tersebut terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada tengah hari semalam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 11.37 pagi dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh pada jam 12.37 tengah hari.
Foto |Polis Diraja Malaysia