harimau malaya ii

Malaysia mudah benam Brunei 4-0

Bola Sepak Sukan Terkini

Bukit Jalil – Skuad bola sepak kebangsaan tidak berdepan sebarang kesukaran untuk menewaskan negara kedua terkecil di rantau Asia Tenggara, Brunei dengan keputusan 4-0 malam tadi.

Ini merupakan perlawanan pertama skuad bola sepak kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil setelah hampir dua tahun setengah tidak beraksi di stadium yang boleh memuatkan hampir 100,000 penyokong itu akibat pandemik COVID-19.

Bagi ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon, ini merupakan perlawanan pertama kendaliannya sejak menjawat jawatan tersebut beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil dan telah mencatatkan dua kemenangan dari empat perlawanan yang dilalui.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon (tiga dari kiri) mengendalikan perlawanan pertamanya di Stadium Bukit Jalil.

Perlawanan persahabatan ini merupakan medan untuk menguji kemampuan pemain dan taktikal pasukan sebelum mengharungi kelayakan Piala Asia 2023 yang akan bermula pada 8 hingga 14 Jun depan.

Dalam perlawanan malam tadi, skuad Harimau Malaya tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pertama apabila Syafiq Ahmad menjaringkan gol pada minit ke-16 hasil sepakan sudut V.Ruventhiran.

Walaupun sedang mendahului Brunei dengan satu gol, pasukan negara seolah-olah masih tidak dapat momentum untuk mengekalkan penguasaan bola. Bola terlalu kerap hilang dari penguasaan kaki pemain-pemain seperti tergesa-gesa untuk melakukan gerakan menyerang ataupun bertahan.

Pada minit ke-45, giliran pemain tengah, Syamer Kutty Abba sedikit sebanyak mengurangkan tekanan bahagian serangan pasukan negara melalui umpanan Faisal Halim yang berjaya menemui kaki kirinya untuk menewaskan penjaga gol Brunei, Helmi Nyaring.

Pemain ‘kesayangan’

Pada babak separuh masa kedua, Kim Pan Gon membawa masuk Safawi Rasid, Nazmi Faiz, Dominic Tan, Liridon Krasniqi dan pemain ‘kesayangan’ penyokong Harimau Malaya, Guilherme de Paula.

Pemain ‘kesayangan’ penyokong Harimau Malaya, Guilherme de Paula meraikan jaringan golnya malam tadi.

Kombinasi gerakan dua pemain yang sering dikritik oleh penyokong Harimau Malaya, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula berjaya menghasilkan gol ketiga dengan Faisal Halim memahatkan namanya selaku penjaring gol hasil umpanan Guilherme de Paula.

Pemain sayap, Faisal Halim jaringkan gol pertamanya di Stadium Bukit Jalil.

Guilherme de Paula menutup akaun gol Harimau Malaya dalam perlawanan tersebut pada minit ke-81 melalui sepakan penalti setelah Akhyar Rasid dikasari oleh pertahanan Brunei, Amirul Hakeem Kasim.

Yang pasti, gol Guilherme de Paula belum cukup untuk menutup mulut pengkritik pemain tersebut.

Selepas ini, skuad Kim Pan-gon akan berdepan pasukan yang jauh lebih sukar iaitu Hong Kong dalam aksi persahabatan pada 1 Jun ini, sebelum memulakan aksi kelayakan Piala Asia 2023 berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain, 11 Jun dan Bangladesh, 14 Jun.

Foto | Football Association of Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *