MALAYSIA KEMBALI KE ASIA SETELAH 42 TAHUN!
Bukit Jalil – Skuad bola sepak kebangsaan negara, Malaysia akhirnya menamatkan penantian selama 42 tahun untuk layak ke Piala Asia 2023!
Ini adalah kelayakan secara merit ke Piala Asia 2023 setelah mengharungi tiga perlawanan kelayakan Kumpulan E dengan mencatatkan dua kemenangan penting dan satu kekalahan.

Skuad negara yang dibimbing oleh ketua jurulatih, Kim Pan Gon menutup perlawanan kelayakan Kumpulan E dengan kemenangan besar ke atas 4-1 ke atas Bangladesh yang berlangsung malam tadi.
Malaysia mengesahkan kemaraan ke Piala Asia 2023 selaku lima naib juara terbaik dalam kumpulan. Bahrain yang menewaskan Turkmenistan 1-0 dalam perlawanan sebelumnya menamatkan kempen sebagai johan Kumpulan E.

Dalam perlawanan tersebut, Safawi Rasid terlebih dahulu memulakan pesta jaringan dengan menjaringkan gol pada minit ke-16 melalui sepakan penalti setelah Matthew Davies dikasari oleh Mohammad Atiqur Rahman.
Jaringan tersebut bagaimanapun tidak menggoyahkan semangat pemain Bangladesh. Mereka mampu menyerap tekanan dan asakan dari pasukan negara dan berjaya membuat beberapa serangan balas yang berbahaya dan pantas.
Akhirnya pada minit ke-31, Bangladesh menggamamkan penyokong Harimau Malaya yang berada di Stadium Bukit Jalil dengan satu tandukan hasil jaringan Mohammad Ibrahim yang berpunca dari satu lontaran ke dalam yang begitu jauh.
Ibarat tersedar dari mimpi buruk, pemain-pemain Harimau Malaya kembali menguasai perlawanan dan membuat beberapa percubaan bahaya ke arah pintu gol Bangladesh yang dikawal rapi Anisur Rahman.

Pada minit ke-38 akhirnya Harimau Malaya berjaya mendapatkan gol kedua hasil jaringan dari kaki kiri Dion Cools. Pemain pertahanan Midtjylland itu menjaringkan gol hasil kegagalan pertahanan Bangladesh untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pasukan itu.
Belum sempat pemain-pemain Bangladesh berpeluh setelah bermulanya separuh masa kedua, pasukan negara menambah gol ketiga pada minit ke-47 hasil tandukan Syafiq Ahmad. Kali ini Faisal Halim menjadi arkitek untuk gol tersebut.

Nafsu Harimau Malaya masih belum reda, gol keempat pasukan negara terus dicetak oleh pemain gantian Darren Lok. Darren Lok berhak untuk mendapatkan gol pada malam ini kerana usaha kerasnya ketika bersama pasukan kebangsaan dalam tiga perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 dan ini adalah gol pertamanya bersama Harimau Malaysia.
Sementara itu Kim Pan Gon berterima kasih kepada semua pihak terutamanya penyokong Harimau Malaya, pasukan-pasukan Liga Super, jurulatih-jurulatih kelab dan pemilik kelab, terutamanya Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membenarkan 15 pemain pasukan itu menyertai pasukan kebangsaan untuk Pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 ini.