SHAH ALAM – Skuad badminton lelaki negara ditabalkan sebagai juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, selepas menewaskan jiran tetangga, Indonesia dengan keputusan 3-0 lewat petang tadi.

Pemain perseorangan pertama negara, Lee Zii Jia berjaya menyumbangkan mata pertama skuad badminton negara walaupun diheret bermain dalam tiga set perlawanan sebelum menumpaskan Chico Aura Dwi Wardoyo 14-21, 21-12, 21-10.

Pada perlawanan kedua, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bertemu pasangan Indonesia, Leo Rolly-Daniel Marthin. Pasangan negara itu bagaimanapun mencemaskan penyokong tempatan apabila tewas diset pertama dengan 17-21. Bagaimanapun Aaron Chia-Soh Wooi Yik bangkit pada set kedua dan ketiga dengan kemenangan 21-13, 21-18, sekaligus menyumbang mata kedua buat pasukan negara.

Mata kemenangan pasukan badminton negara disumbangkan oleh pemain perseorangan kedua, Ng Tze Yong. Pemain meningkat naik berusia 21 tahun itu tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk menewaskan pemain perseorangan kedua Indonesia, Ikhsan Rumbay dengan mata 21-14, 21-15.