Malaysia juara AFF B-19 2022
Seri Manjung – Skuad bola sepak negara mendakap Piala AFF B-19 2022 dengan menewaskan Laos malam tadi di Stadium Candrabhaga, Indonesia dengan keputusan 2-0.
Walaupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya meletakkan sasaran mara ke separuh akhir, tetapi pasukan bimbingan Hassan Sazali membawa pulang kejuaraan tersebut dengan penuh bergaya pada tahun ini.
Dengan kemenangan semalam, skuad B-19 negara berjaya mengulangi pencapaian cemerlang mereka bergelar juara pada tahun 2018 di mana Indonesia menjadi tuan rumah pada edisi 2018 tersebut.
Skuad Harimau Muda negara menemui jaringan gol pada minit ke-13 menerusi sepakan percuma Faiz Amer Runnizar yang menewaskan penjaga gol Laos, Phounin Xayyasone.
Pada separuh masa kedua, Laos yang dikendalikan oleh Hans Michael Weiss dilihat cuba mengimbangi momentum perlawanan dengan melakukan beberapa percubaan ke gawang gol negara yang dikawal Syahmi Adib Haikal Syukri.
Ternyata apa yang dilakukan oleh Laos hampir memberikan gol penyamaan apabila percubaan Phonsack Seesavath minit ke-50 sedikit melewati palang gol negara.
Skuad B-19 negara mengambil kesempatan atas kesilapan kolektif pemain-pemain Laos dengan gol kedua pada minit ke-76 hasil percubaan tepat Aliff Izwan Yuslan.
Kejayaan merangkul kejuaraan edisi Indonesia 2022 ini diharap mampu menutup mulut pengkritik skuad bimbingan Hassan Sazali ini sejak bermulanya kejohanan Piala AFF B-19 ini.
Foto | FAM