Seri Manjung – Skuad badminton negara merangkul pingat emas berpasukan campuran Sukan Komanwel selepas menumpaskan juara bertahan, India 3-1 dalam aksi luar jangka di Arena Birmingham awal pagi tadi.
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah telah memberikan mata emas negara selepas menumpaskan beregu India, Treesa Jolly-Gayatri Puella dengan keputusan ‘staright set’, 21-18, 21-17 dalam perlawanan keempat pagi tadi.
Kem badminton negara bermula dengan cemerlang setelah beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan buruan emas dengan mengutip mata pertama kem badminton negara apabila menumpaskan pasangan beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dengan keputusan 21-18, 21-15.
India bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas bekas juara dunia, P.V Sindhu berjaya mengekang kebangkitan Goh Jin Wei 22-20, 21-17 dalam perseorangan wanita.
Perseorangan lelaki negara yang sedang meningkat naik, Ng Tze Yong kembali meletakkan Malaysia 2-1 di hadapan apabila berjaya mengejutkan bekas pemain no.1 dunia, Srikanth Kidambi dengan perlawanan ‘rubber set’ yang berkeputusan, 21-19, 6-21 dan 21-16.
Untuk statistik, pingat emas badminton berpasukan campuran yang dimenangi ini merupakan yang keempat bagi Malaysia dalam Sukan Komanwel setelah memenanginya pada tahun 2006, 2010 dan 2014.
Dengan kemenangan pasukan campuran badminton negara ini, kontinjen negara di Birmingham berjaya menambah kutipan emas kepada 3 pingat selepas dua emas pertama disumbangkan oleh kem angkat berat negara.