darren lok

Malaysia 3-1 Turkmenistan, 3 mata penting

Bola Sepak Sukan Terkini

Bukit Jalil – Malaysia membuka tirai Kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E dengan penuh bergaya apabila menewaskan pasukan Turkmenistan 3-1 sebentar tadi.

Malaysia yang  diketuai oleh penjaga gol berpengalaman, Farizal Marlias tampak agresif dan bersemangat sejak wisel permulaan dibunyikan.

Pasukan negara menguasai hampir seluruh tempo perlawanan tanpa memberikan ruang buat pemain-pemain Turkmenistan untuk bernafas dan mengatur gerak.

Semestinya bermain di gelanggang sendiri memberikan banyak kelebihan terutamanya sokongan yang diberikan oleh Ultras Malaya dan penyokong-penyokong yang hadir.

Kesebelasan utama Malaysia ketika bertemu Turkmenistan dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2023, Kumpulan E.

Meletakkan penyerang PJ City, Darren Lok sebagai penyerang tunggal dan dibantu oleh duo JDT, Arif Aiman dan Safawi Rasid sudah menampakkan rancangan Kim Pan Gon mahu mencari tiga penuh dalam misi untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2023.

Ternyata apa yang dirancang menjadi kenyataan apabila Harimau Malaya menjaringkan gol seawal minit ke-11 hasil jaringan Safawi Rasid.

Gol berpunca dari hantaran bola silang Arif Aiman yang ditempis keluar oleh penjaga gol Turkmenistan, Orazmuhammedov Mammet dan bola tersebut singgah di hadapan Safawi Rasid untuk gol pertama pasukan negara.

Harimau Malaya hampir menggandakan jaringan pada minit ke-14 tetapi tolakan Darren Lok di depan pintu gol tidak menemui sasaran.

Gol yang dinanti-nantikan oleh penyokong di Stadium Bukit Jalil akhirnya muncul pada minit ke-15 melalui Faisal Halim dengan penyudah yang cukup-cukup menarik untuk disaksikan.

Pertahanan kanan Harimau Malaya, Matthew Davies turut menguji penjaga gol Turkmenistan dengan satu percubaan jarak jauh pada minit ke-19, tetapi bola hanya melewati palang gol.

Unit pertahanan Harimau Malaya akhirnya dihukum apabila pemain, Annadurdyyev Altymyrat bijak memanfaatkan kesilapan pertahanan negara untuk menjaringkan gol pertama Turkmenistan pada minit ke-37.

Pada minit ke-2 waktu kecederaan separuh masa pertama, Corbin Ong mencatatkan namanya sebagai penjaring gol ketiga pasukan negara setelah berjaya melarikan bola dari kawasan sendiri dan melepaskan satu rembatan lemah cukup untuk menewaskan Orazmuhammedov Mammet.

Masuk babak kedua, skuad Harimau Malaya lebih banyak bertahan dengan Turkmenistan berusaha mencari gol untuk mencuri satu mata.

Dengan kemenangan tersebut, Malaysia kini mengungguli Kumpulan E dengan mengumpul tiga mata diikuti Bahrain yang menewaskan Bangladesh 2-0 pada perlawanan sebelah petang.

Anak buah Kim Pan Gon akan dijadual bertemu Bahrain di tempat yang sama pada Sabtu ini sebelum menutup kempen kelayakan berdepan Bangladesh pada Selasa depan.

Foto | Football Association of Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *