Makmal proses dadah tumpas
Ipoh – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah berjaya menumpaskan makmal haram yang memproses dadah di Chenderiang, Tapah pada jumaat lalu.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, dalam serbuan tersebut polis telah berjaya menahan lima lelaki India di sebuah bangsal di Chenderiang, Tapah.
“Lima lelaki termasuk dua beradik berusia antara 29 hingga 33 tahun berjaya ditahan.
“Polis mengesyaki bahawa mereka yang ditahan terlibat dengan aktiviti memproses dan mengedar dadah jenis methamphethamine.
“Dalam serbuan tersebut, pihak polis berjaya merampas dadah dipercayai jenis methamphetamine dengan anggaran berat 110.453 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM6.62 juta.
Jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 1,004,530 orang penagih dan sindiket ini dipercayai aktif sejak bulan Jun 2022 yang lalu dan pasaran dadah adalah untuk luar negeri Perak.
Turut dirampas dalam operasi tersebut adalah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

Ujian saringan air kencing telah dijalankan ke atas kelima-lima suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphethamine dan empat suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah.
Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana JSJN Perak telah menyita dua buah kenderaan, empat utas rantai leher berwarna keemasan, satu bentuk loket, dua bentuk cincin berwarna keemasan dan sepasang subang berwarna keemasan.
Anggaran keseluruhan nilai harta yang disita adalah RM 161,375.00 dan nilai keseluruhan rampasan dadah bersama anggaran harta yang disita adalah RM 6.78 juta.
Kelima-lima suspek telah direman selama tujuh hari bermula 27 Ogos 2022 (Sabtu) sehingga 2 September 2022.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati.
Gambar | Polis Perak