Mahasiswa Malaysia ditahan di Mesir
Seri Manjung – Satu kenyataan media mengenai penahanan seorang mahasiswa Malaysia yang ditahan di Mesir telah dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri kira-kira jam 9.13 malam tadi (Ahad).
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, mahasiswa yang merupakan penuntut di Universiti Al-Azhar itu telah ditahan oleh pihak berkuasa Mesir.
“Susulan penahanan tersebut, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Mesir untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes ini.
“Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan kes ini menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan akan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mahasiswa berkenaan,” tambah Saifuddin Abdullah dalam kenyataan media tersebut.