Ipoh – Le Tour de Langkawi (LTdL) dijangka kembali bermula Jun ini selepas perlumbaan jelajah tersebut dibatalkan tahun lepas berikutan wabak Covid-19 yang menular di dalam negara.
Perlumbaan jelajah yang berstatus UCI ProSeries itu dijangka bermula pada 11 hingga 18 Jun 2022 dengan jumlah jarak sejauh 1,183 kilometer. LTdL kali ini terdiri daripada 8 peringkat yang membabitkan beberapa negeri antaranya Perak, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pahang dan Pulau Langkawi.
“Setakat ini hanya lima pasukan yang telah mendaftar dan sasaran kita selewat-lewatnya sebulan untuk pasukan-pasukan lain mengesahkan penyertaan mereka,” katanya kepada selepas merasmikan majlis pengenalan Laluan LTdL 2022 di Padang Awam Klebang Restu, pada Ahad lalu.
Tambah Faizal Azumu, kesemua peserta akan bermula di Kuala Lumpur dan akan menuju ke selatan melalui Kuala Pilah sebelum merentasi Kuala Klawang ke Raub.
“Peserta turut diuji dengan pendakian getir ke Genting Highlands pada peringkat ke-3 perlumbaan bermula dari Putrajaya dan peringkat seterusnya dari pekan Kuah ke Gunung Raya yang bakal menjadi kegemaran raja-raja bukit sebelum tamat dengan laluan loop di Langkawi,” katanya.
Pesera LTdL wajib mendapatkan vaksinasi sebelum masuk ke Malaysia, malah perlu mengikut beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
LTdL telah bermula pada tahun 1996 dimana jelajah ini menjadi pilihan beberapa pasukan bertaraf pro-tour dan negara-negara kuasa besar berbasikal seperti Colombia, Itali dan Afrika Selatan menguji kekuatan mental dan fizikal dengan mengharungi cuaca panas dan tidak menentu negara ini.
“Terima kasih kepada pihak kementerian, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan penganjur, Human Voyage yang dapat mencari jalan dan titik pertemuan agar penganjuran LTdL dapat diteruskan tahun ini,” tambah Faizal Azumu lagi.
Foto | Le Tour de Langkawi