Seri Manjung – Sebanyak 10,662 kelas sekolah rendah seluruh negara yang mempunyai dua sesi persekolahan akan disediakan kemudahan lokar oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ini sebagai salah satu jalan penyelesaian untuk menangani isu beg berat. Itulah yang diperkatakan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dalam satu rakaman video yang dikongsi di media sosial Facebooknya tengah hari semalam.
Penyediaan kemudahan lokar itu merupakan salah satu dari tujuh ketetapan dan perincian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menangani isu beg berat secara menyeluruh.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kemudahan lokar itu akan dibahagikan kepada dua fasa. Fasa pertama, kemudahan lokar adalah untuk murid Tahap 1 (Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3). Ia melibatkan 10,662 kelas dan melibatkan 323,186 orang murid dengan jumlah peruntukan sebanyak RM37.3 juta.
“Bagi fasa kedua pula, kemudahan lokar disediakan untuk murid Tahap 2 (Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6) dan perlaksanaan dijangka pada taun 2023.
Bagi sekolah rendah yang hanya mempunyai satu sesi persekolahan, murid dibenarkan untuk menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing, tambahnya lagi.
Bagi ketetapan dan perincian yang kedua pula adalah penyusunan semula jadual waktu dengan menghadkan tiga hingga empat mata pelajaran dalam sehari dengan mengambil kira aspek keberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan. Sekolah juga diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu.
Ketetapan dan perincian yang ketiga pula adalah menghadkan jumlah buku latihan dengan tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran pada satu-satu masa dan tidak melebihi 80 muka surat.
Antara ketetapan dan perincian yang lain adalah, murid hanya dibenar menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM.
“Untuk ketetapan dan perincian berkaitan buku teks digital, KPM akan menerbitkan buku teks dalam format digital secara berterusan,” katanya lagi.
Murid boleh mengakses 692 judul buku teks digital yang telah dimuat naik dalam pelantar Digital Education Learning Initiative Malaysia (DELIMa).
Mengulas lanjut mengenai ketetapan dan perincian keenam mengenai pendekatan PdP (Pengajaran dan Pembelajaran di sekolah), guru digalakkan menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (Virtual Lab) atau pembelajaran terbeza.
Ketetapan dan perincian yang terakhir dalam menangani isu beg berat secara menyeluruh adalah bekerjasama dengan JAKIM. Tambah Dr Radzi Jidin, KPM telah berbincang dengan JAKIM agar murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan KAFA.