Lee Zii Jia-Anthony Ginting, suku akhir Masters Indonesia
Seri Manjung – Lee Zii Jia menepati jangkaan awal apabila mara ke suku akhir Masters Indonesia dan akan bertemu jaguh tuan rumah, Anthony Ginting di Stadium Istora Senayan hari ini.
Pemain ranking kelima dunia itu menewaskan perseorangan Belanda, Mark Caljouw pada pusingan kedua dalam masa 37 minit dengan keputusan 21-17 dan 21-14.
Sementara itu, lawannya pada suku akhir hari ini, Anthony Ginting menewaskan wakil Thailand, Sitthikom Thammasin 21-13 dan 21-14.
Lee Zii Jia bagaimanapun tidak mempunyai rekod pertemuan yang baik apabila bertemu Anthony Ginting dengan hanya menang sekali (suku akhir Piala Sudirman 2021) dari lima pertemuannya dengan jaguh badminton Indonesia itu.
Berdasarkan prestasi semasa, Lee Zii Jia kelihatan mempunyai sedikit kelebihan dengan berbekalkan momentum memenangi dua kejohanan sebelum ini iaitu Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Terbuka Thailand pada bulan lalu.

Turut layak ke suku akhir adalah dua pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Woi Yik (pilihan 4) dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin (pilihan 8).
Aaron Chia-Soh Woi Yik diramal tidak akan menghadapi masalah untuk layak ke separuh apabila bertemu pasangan bukan pilihan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang manakala Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dijangka bermandi peluh apabila bertemu pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Pilihan keenam bagi kategori beregu wanita di Masters Indonesia, Pearly Tan-M. Thinaah pula akan berdepan pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai (pilihan 4).

Juara Terbuka Switzerland 2021 itu melepasi ranjau permainan tiga set ketika bertemu pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee Yu Lim dengan keputusan 21-23, 21-17 dan 21-15 dalam pusingan kedua yang berlangsung selama 1 jam 30 minit.
Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Istora Senayan, Jakarta, bermula jam 1 tengah hari waktu tempatan.