leclerc

Leclerc dominan di GP Austria

Fomula 1 Sukan Terkini

Pemandu Ferrari, Charles Leclerc memenangi Grand Prix Austria sebentar tadi dengan pemanduan yang cukup hebat selain mengatasi pesaingnya, Max Verstappen dari Red Bull yang menduduki tempat kedua dengan ketinggalan 1.5 saat di Litar Red Bull Ring.

Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton berada di tempat ketiga untuk Mercedes dengan rakan sepasukannya George Russell di tempat keempat, manakala Esteban Ocon berada di tempat kelima yang memandu Alpine.

Mempunyai jentera yang boleh dianggap kompetitif, Leclerc tampak begitu sukar ditumbangkan di Austria. Dia memintas Verstappen sebanyak tiga kali sepanjang berlangsungnya perlumbaan 71 pusingan itu.

Ini adalah kemenangan kelima Leclerc dalam karier dan yang ketiganya bagi musim ini. Ia juga kemenangan pertama Leclerc selepas tujuh perlumbaan dan kali terakhir dia memenangi perlumbaan adalah di Grand Prix Australia.

“Saya sangat-sangat memerlukan kemenangan ini.

“Lima perlumbaan yang lalu, ia adalah sesuatu yang sukar bagi saya dan pasukan.

“Akhirnya kami (Ferrari) dapat apa yang kami mahukan dari jentera dan ia sungguh menakjubkan.

“Kami akan berusaha sehingga ke akhir musim ini,” kata Leclerc selepas perlumbaan di Litar Red Bull Ring sebentar tadi.

Untuk rekod, kemenangan Leclerc sebentar tadi merupakan yang pertama untuk pasukan yang berpangkalan di Maranello, Itali, sejak Michael Schumacher menang di litar itu pada tahun 2003.

Rakan sepasukan Leclerc, Carlos Sainz menjadi individu paling kecewa kerana tidak berjaya menamatkan perlumbaan di Litar Red Bull Ring. Sainz berapa pada kedudukan ketiga sebelum enjin jenteranya meletup dan terbakar ketika cuba memintas Verstappen pada pusingan ke-57.

Perlumbaan Formula 1 seterusnya akan berlangsung di Litar Paul Ricard, Perancis pada 24 Julai ini.

Foto | Formula 1

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *