Ladang babi di Kerian dikesan ASF
Seri Manjung – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengeluarkan satu kenyataan media petang tadi berkaitan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) yang dikesan di dua ladang babi komersial di daerah Kerian, Perak.
Pengesanan penyakit tersebut telah dibuat melalui ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh pada 17 dan 18 September 2022 lalu.
JPV telah melaksanakan beberapa tindakan kawalan dan pencegahan rebakan penyakit ASF ini termasuklah, ladang dijangkiti telah disita dan ditahan daripada sebarang pergerakan keluar masuk babi dan kenderaan.
Pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan di ladang babi komersial di kawasan terjangkit juga telah dilaksanakan oleh JPV.
JPV turut memperketatkan syarat pindah babi dan produk babi dari negeri Perak ke seluruh Semenanjung Malaysia selain libat urus dan kempen kepada pengusaha ladang babi komersial untuk memperketatkan biosekuriti ladang masing-masing.
Selain itu, bilik gerakan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak dan Pejabat Veterinar Daerah Kerian juga telah diaktifkan dengan penglibatan Pejabat Daerah Kerian.
Tindakan pelupusan ke atas baki ternakan di ladang yang dijangkiti ASF akan segera dilakukan oleh JPV dan daya jejak ke atas kenderaan pengangkut babi yang terbabit dengan ladang dijangkiti turut dilaksanakan.
Dalam kenyataan media itu juga, JPV menasihatkan orang ramai supaya tidak panik kerana ASF tidak menjangkiti manusia.