Kurang awan, kurang hujan

Seri Manjung – Jabatan Meteorologi Malaysia semalam mengeluarkan kenyataan dengan menjangkakan Monsun Barat Daya yang telah bermula pada 14 Mei 2022 lalu akan berterusan sehingga pertengahan September 2022 ini.

Semasa monsun ini berlaku, angin akan bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan akan menyebabkan keadaan atmosfera menjadi lebih stabil.

Keadaan tersebut menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan dan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak daripada hari hujan.

Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.

Pada bulan Jun ini, beberapa negeri di Semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras purata antara 100 milimeter (mm) hingga 250 mm.

Manakala negeri seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Cameron Highlands, sebahagian Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan dijangkakan akan menerima hujan sedikit di bawah purata iaitu sekitar 50 mm hingga 200 mm.

Sarawak pula dijangka akan menerima hujan pada paras purata antara 150 mm hingga 300 mm, manakala Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan purata hujan pada paras 100 mm hingga 350 mm.

Bagi Julai 2022, Semenanjung Malaysia dijangkakan akan menerima hujan pada paras purata antara 50 mm hingga 300 mm. Sarawak pula dijangka menerima hujan pada paras purata antara 150 mm hingga 350 mm kecuali di Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong dengan purata hujan yang sedikit lebih tinggi iaitu antara 250 mm hingga 300 mm.

Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, purata hujan yang diterima dijangka antara 100 mm hingga 350 mm.

Kebanyakan negeri dan kawasan di Semenanjung dijangka akan menerima hujan dengan purata antara 50 mm hingga 400 mm pada bulan Ogos ini kecuali di timur Kelantan dan utara Terengganu dengan jangkaan purata hujan antara 100 mm sehingga 200 mm. Manakala di selatan Johor pula akan menerima lebih hujan sekitar 250 mm hingga 300 mm.

Negeri Sarawak dijangka menerima hujan pada paras purata sama seperti bulan Julai, kecuali di Kuching, Samarahan dan Sri Aman sekitar 350 mm hingga 400 mm manakal di Betong, Sarikei dan Sibu menerima hujan lebih sedikit antara 250 mm hingga 300 mm.

The Dindings Ledger

The Dindings Ledger (TDL) adalah portal berita yang diwujudkan oleh beberapa anak muda yang berasal dari Seri Manjung, Perak. Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada penduduk daerah Manjung mengenai perkembangan negara khususnya di daerah Manjung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *