Noor Hisham Abdullah

KKM benarkan penjaga atau pelawat ke hospital

Berita Terkini

Seri Manjung – Bermula esok, Sabtu, 23 April 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkan pesakit-pesakit di wad untuk ditemani oleh penjaga dan menerima pelawat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebenaran pesakit-pesakit di wad untuk ditemani penjaga dan menerima pelawat adalah berdasarkan kriteria- kriteria tertentu.

Walaubagaimanapun, tatacara perlaksanaan arahan ini adalah tertakluk kepada kapasiti dan kemampuan hospital dan wad masing-masing.

Terdapat dua (2) kriteria penjaga dan pelawat yang ditetapkan oleh KKM. Ianya adalah kriteria umum dan kriteria khusus. Terdapat dua (2) kriteria khusus iaitu untuk ketegori pesakit bukan Covid-19 dan pesakit Covid-19.

“Kriteria umum bagi penjaga dan pelawat yang dibenarkan untuk menemani dan melawat mestilah berumur 12 tahun dan ke atas, telah lengkap vaksinasi Covid-19, tidak tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 (mempunyai pelbagai komorbiditi atau sistem imuniti yang lemah).

“Bagi penjaga kepada kategori pesakit tertentu yang perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri, ujian perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam sebelum ketibaan ke hospital. Tarikh dan masa ujian dijalankan perlu dinyatakan berserta gambar sebagai bukti.

“Selain itu juga, penjaga dan pelawat tidak disyaki menghidapi Covid-19 atau individu dalam pemantauan (PUS), tidak mempunyai gejala Covid-19 dan perlu mengisi borang deklarasi Covid-19 serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan memakai alat pelindung diri (PPE) seperti yang telah ditetapkan,” jelas Noor Hisham Abdullah.

Penjaga bagi kategori pesakit bukan Covid-19 yang berada di wad serta individu yang ingin menemani ibu mengandung semasa proses bersalin, mereka perlu menjalani ujian saraingan Covid-19 iaitu RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif.

Lawatan daripada kalangan ahli keluarga kepada pesakit bukan Covid-19 yang berada sama ada di wad, unit rawatan rapi (ICU) adalah dibenarkan namun terhad kepada dua (2) orang pelawat pada satu-satu masa dan digalakkan untuk membuat ujian COVID-19 menggunakan RTK-Ag kendiri.

Selain itu, hanya seorang penjaga dibenarkan bagi pesakit bukan COVID-19 yang menerima rawatan pesakit luar atau di jabatan kecemasan  dan mereka juga digalakkan menjalani ujian COVID-19 menggunakan RTK-Ag kendiri sebelum hadir ke fasiliti kesihatan.

Untuk penjaga bagi kategori pesakit Covid-19 pula, kehadiran penjaga hanya dibenarkan bagi pesakit yang memerlukan penjagaan khusus dan pesakit kanak-kanak saja.

“Bagi tujuan tersebut, penjaga perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif. Ujian RTK-Ag kendiri perlu diulang sekiranya penjaga bergejala dan sebelum pulang ke rumah.

“Tiada pelawat dibenarkan bagi pesakit COVID-19, kecuali bagi pesakit yang sedang tenat sama ada di wad atau di ICU. Tetapi dengan hanya dua (2) pelawat pada satu-satu masa dan ujian COVID-19 menggunakan RTK-Ag kendiri adalah digalakkan sebelum lawatan.

Walaubagaimanapun, KKM ingin menekankan dalam keadaan tertentu di mana risiko penularan COVID-19 adalah tinggi seperti berlakunya wabak COVID-19 di hospital, pihak hospital boleh melakukan beberapa pengubahsuaian kepada polisi yang sedia ada, bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pihak,” kata Noor Hisham Abdullah mengakhiri kenyataan media tersebut.

Foto | Facebook kementeriankesihatanmalaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *