HM_SEA_1

Kemarau emas bola sepak negara berterusan

Sukan Terkini

Seri Manjung – Keinginan skuad bimbingan Brad Maloney untuk menamatkan kemarau pingat emas dalam acara bola sepak Sukan SEA 2021 di Hanoi hanya menjadi mimpi semata-mata setelah tumpas 1-0 menentang Vietnam di Stadium Viet Tri malam tadi.

Skuad Harimau Muda hanya mampu melihat pasukan tuan rumah, Vietnam meraikan kejayaan mereka untuk menempah pertemuan dengan Thailand pada perlawanan akhir pada 22 Mei ini.

Vietnam merupakan pemenang pingat emas pada Sukan SEA 2019 memulakan aksi separuh akhir dengan begitu agresif. Mereka lebih banyak melakukan gerakan dan percubaan kea rah pintu gol pasukan negara.

Kelemahan menyimpan dan membuat hantaran mudah yang begitu ketara di bahagian tengah skuad bimbingan Brad Maloney memaksa benteng pertahanan dan penjaga gol, Azri Ab Ghani bekerja keras bagi memastikan gawang tidak dibolosi.

Pada minit ke-17, Nik Akif Syahiran dilihat mampu menggamamkan penyokong tuan rumah, tetapi percubaan volinya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Vietnam, Le Van Xuan.

Pasukan bimbingan Park Han Seo itu turut berpeluang untuk menjaringkan gol  minit ke-27, tetapi percubaan Nguyen Tien Linh hanya melintasi gawang gol Azri Ab Ghani.

Hasil dari satu gerakan menarik dari bahagian kiri pasukan negara, Vietnam hampir berjaya membuka jaringan gol pada minit ke-41, tetapi percubaan rendah Nguyen Tien Linh dan percubaan susulan dari rakan sepasukannya sekali lagi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol negara.

Pada separuh masa kedua, skuad Harimau Muda dilihat hanya mampu bertahan dengan Vietnam lebih bernafsu untuk menjaringkan gol.

Kesilapan-kesilapan mudah masih lagi berulang dalam kalangan pemain Harimau Muda. Hantaran yang tidak tepat termasuk hantaran-hantaran jauh ke bahagian serangan seperti terdesak dan tiada idea kreatif dari bahagian tengah.

Vietnam pula dilihat begitu selesa bermain dengan corak permainan yang laju dan memiliki peluang sekali lagi menerusi penyerangya, Nguyen Tien Linh pada minit ke-65. Mujur Azrin Afiq berada kedudukan yang tepat untuk menidakkan percubaan Nguyen Tien Linh.

Aksi skuad Harimau Muda menentang Vietnam malam tadi.

Skuad Harimau Muda berjaya mendapatkan sepakan percuma setelah penyerang negara, Luqman Shamsudin dijatuhkan oleh dua pemain Vietnam dalam satu serangan balas pada minit ke-82.

Insiden tersebut telah menimbulkan kekecohan di antara pemain kedua-dua pasukan.

Hasil dari sepakan percuma tersebut, tandukan Safwan Mazlan turut gagal menemui jaring gol Vietnam dan perlawanan tamat dengan keputusan 0-0 sepanjang 90 minit waktu sebenar permainan.

Pada minit ke-110 dalam masa tambahan, Vietnam akhirnya mendapat gol yang dicari-cari hasil tandukan Nguyen Tien Linh berpunca dari satu sepakan percuma.

Kesilapan penjaga gol Azri Ab Ghani membuat jangkaan dan Hadi Fayyadh yang tidak mampu menanduk bola keluar dari kawasan berbahaya menjadi titik noktah perjuangan pasukan Harimau Muda.

Malaysia akan bertemu Indonesia pada 22 Mei ini untuk satu lagi peluang bagi membawa pingat gangsa pulang ke tanah air.

Gangsa lebih baik dari tiada apa-apa untuk dibawa pulang.

Foto | Football Association of Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *