Lumut – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) amat memerlukan kapal-kapal perang dan peronda yang baharu dan jumlah kuantiti kapal tersebut perlu ditambah memandangkan sebahagian besar aset sedia ada sudah agak berusia.
Kegagalan memperolehi kapal baharu dalam jumlah dikehendaki menyebabkan TLDM terpaksa segera melakukan program memanjangkan hayat kapal sedia ada berikutan tempoh operasi yang perlu dilalui setiap kapal berkenaan.
Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md. Ajis memaklumkan bahawa, sebanyak 75 peratus daripada daripada 44 buah kapal milik pasukan itu ketika ini sudah melebihi usia 40 tahun.
Dalam erti kata lain, kapal TLDM sudah lebih usia.
Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar
“Kapal yang lebih daripada 40 tahun banyak dan ada antaranya melebihi usia 50 tahun.
“Sebagai contoh, kapal peronda laju yang beroperasi di Pangkalan TLDM Kuantan, Pahang, semuanya sudah mencecah usia 50 tahun.
“Dalam erti kata lain, kapal TLDM sudah lebih usia.
“Kita (TLDM) memerlukan kapal yang baharu dan jumlah kapal yang sedia ada tidak mencukupi untuk mengawal kedaulatan negara ini sekiranya berlaku konflik disatu hari nanti,” tegas beliau.
Pada masa yang sama, pihaknya akan sentiasa meningkatkan keupayaan kapal-kapal perang tersebut dari semasa ke semasa bagi memastikan kapal-kapal sedia ada mampu melaksanakan tugasnya.
“Sehingga kini, TLDM cuba memanjangkan jangka hayat kapal selagi termampu,” katanya ketika menyambut kepulangan Kapal Diraja (KD) Lekir yang menyertai Eksesais Lingkaran Pacific (Rim of The Pacific/RIMPAC 2022) di Tambatan Pangkalan Lumut hari ini.
KD Lekir
Menurut Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md. Ajis, TLDM telah membuat program untuk memanjangkan hayat KD Lekir dan menjangkakan kapal tersebut mampu beroperasi dengan baik sehingga 2030.
“Sebelum 2030, sekiranya kita masih memerlukan perkhidmatan KD LEKIR, kita akan meneruskan sekali lagi program pemanjangan hayat terhadap kapal tersebut. Tetapi ia berdasarkan kemampuan dan keberadaan peruntukan yang diperuntukan,” tegasnya lagi.
KD Lekir ketika ini berusia hampir 40 tahun dan telah membelah lautan selama 62 hari sepanjang Eksesais Lingkaran Pacific (Rim of The Pacific/RIMPAC 2022) yang bertempat di kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat.
Foto | Defence Security Asia