PMO

Kabinet pinda Perlembagaan isu kewarganegaraan

Berita Terkini

Seri Manjung – Kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara Malaysia berhak mendapat kerakyatan negara ini dari segi undang-undang. 

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada semalam, Jumaat. 

Kenyataan tersebut menyatakan bahawa, Mesyuarat Jemaah Menteri telah meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1) (e) dan Bahagian II, Seksyen 1 (b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua. 

Ianya berkenaan pemberian kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara Malaysia. 

Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan kabinet kerana merealisasikan komitmen negara terhadap kesaksamaan jantina dan memenuhi hak terhadap kanak-kanak. 

Berbalik kepada kenyataan semalam, cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara ini adalah untuk menggantikan perkataan ‘bapanya’ dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya’ bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan. 

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 seterusnya dijangka dibentangkan dalam persidangan Parlimen ini setelah memenuhi kehendak undang-undang. 

Pada masa sama, kenyataan itu turut menyatakan, pindaan yang lain berkaitan kewarganegaraan terutamanya Bahagian III akan dikaji dengan lebih terperinci oleh jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan tersebut dimuktamadkan dengan mengambil kira libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan. 

Perkara ini sejajar dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di Malaysia serta mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan yang timbul. 

Ianya juga mampu menyelesaikan lambakan kes-kes tertunggak bagi wanita yang terkesan untuk memohon kewarganegaraan anak mereka melalui pendaftaran yang mengambil masa terlalu lama dan tidak munasabah dan memberikan tafsiran yang jelas dan mengelakkan tafsiran berbeza dari mahkamah. 

Kesan daripada keputusan hari ini (Jumaat), anak yang lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara Malaysia berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang menurut Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *