London – “Kejayaan Real Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara telah menjamin Ballon d’Or untuk Karim Benzema!” Itulah kata-kata yang keluar dari mulut Rio Ferdinand. Rio Ferdinand merupakan lagenda pertahanan Manchester United (2002-2014).
Selepas meraih kejuaraan LaLiga pada minggu lalu, Real Madrid di bawah kendalian Carlo Ancelotti menambah satu lagi trofi utama dalam saingan Eropah iaitu menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah setelah menewaskan Liverpool 1-0 pada Sabtu lalu.
Kata Ferdinand, “Karim Benzema telah menjadi nadi kepada corak permainan mengagumkan Madrid musim ini. Secara dasarnya, dia telah mengetuai bahagian serangan kelab sejak penghijrahan Cristiano Ronaldo pada 2018.
“Benzema adalah sumber gol semula jadi bagi Madrid di hadapan gol lawan pada musim ini, dan begitu menyerlah dalam perlawanan-perlawanan penting.
“Jaringan hatrik yang menakjubkan ketika menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada pusingan 16 dan menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan untuk menyingkirkan Chelsea.
“Benzema sekali lagi menambah tiga gol ketika bertemu Manchester City.
“Walaupun dia tidak menjaringkan gol pada perlawanan akhir – kemampuannya bertahan, komunikasi dan pergerakannya tanpa bola adalah sesuatu yang seronok untuk dilihat,” kata Ferdinand.
Perlawanan akhir di Stade de France disifatkan sebagai perlawanan penentuan Ballon d’Or di antara Benzema, Salah dan Sadio Mane.
Ferdinand merasakan ianya akan menjadi satu kejutan jika pemain antarabangsa Perancis itu tidak memenangi Ballon d’Or.
Penjaring terbanyak dalam Liga Juara-Juara Eropah: 15 gol
Dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini, Karim Benzema merupakan penjaring terbanyak dengan menjaringkan 15 gol mengatasi penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski yang menjaringkan 13 gol.
“Apa lagi yang Benzema perlu buktikan kepada dunia bola sepak untuk dia dianugerahkan Ballon d’Or? Saya rasa, teka-teki untuk pemenang Ballon d’Or telah berakhir.
“Jika Karim Benzema tidak mendapat gelaran Ballon d’Or maka ia akan menjadi satu kesilapan,” ujar Ferdinand lagi.
Senarai pendek untuk Ballon d’Or akan dikeluarkan pada 12 Ogos 2022 dan pemenang akan diumumkan di Paris pada 17 Oktober 2022.
Foto | Twitter