Itali makin rindu ke Piala Dunia 2022

Palermo – Itali sekali lagi gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut setelah ditunjukkan jalan keluar oleh negara kecil Eropah, Macedonia Utara 0-1 dalam aksi playoff di tempat sendiri pagi tadi.

Gol kemenangan Macedonia Utara dijaringkan oleh Aleksandar Trajkovski pada minit ke-2 waktu kecederaan separuh masa kedua. Satu rembatan rendah yang cukup cantik dari jarak 22 meter yang menewaskan penjaga gol Azzurri, Gianluigi Donnarumma.

Gol Aleksandar Trajkovski itu mencetuskan kegembiraan buat pemain, jurulatih dan pegawai Macedonia Utara yang duduk di bangku simpanan berlari ke dalam padang meraikan gol tersebut.

Pengurus Itali, Roberto Mancini berasa amat kecewa dengan kekalahan tersebut. Pasukannya gagal menjaringkan sebarang gol dalam tempoh 1 jam 30 minit dengan 32 jumlah percubaan ke pintu gol pasukan lawan.

“Ia sangat mengecewakan, kami mencipta begitu banyak peluang jaringan dan menguasai perlawanan tetapi gagal menang,” kata Mancini.

Beberapa akhbar di Itali turut merasai kekalahan terebut. Antaranya akhbar Corriere dello Sport dengan tajuk “Ke Neraka”, ia mencerminkan kekecewaan yang amat dahsyat kerana Itali tidak layak ke Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.

Dengan kemenangan ini, Macedonia Utara akan bertemu satu lagi pasukan pilihan, Portugal, yang mana telah menewaskan Turki 3-1 dalam satu lagi perlawanan playoff.

Perlawanan tersebut pastinya akan lebih menarik di mana, Cristiano Ronaldo akan cuba mencari jalan untuk layak ke Piala Dunia Qatar 2022 demi melupakan musim tanpa trofi bersama kelabnya, Manchester United pada musim ini.

Foto | Twitter

The Dindings Ledger

The Dindings Ledger (TDL) adalah portal berita yang diwujudkan oleh beberapa anak muda yang berasal dari Seri Manjung, Perak. Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada penduduk daerah Manjung mengenai perkembangan negara khususnya di daerah Manjung.