Imbasan kod QR MySejahtera tidak diwajibkan
Seri Manjung – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mewajibkan orang ramai membuat imbasan kod QR MySejahtera apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam bermula 1 Mei 2022 ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, “Walaupun imbasan kod QR MySejahtera tidak diwajibkan, saya ingin menyeru supaya orang ramai mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.
“Individu dengan status ‘High Risk’ pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif COVID-19 dan individu yang diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO), tidak dibenarkan masuk ke premis.
“Oleh itu, Aplikasi MySejahtera ini masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan COVID-19 dan arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO).
“Penggunaan aplikasi MySejahtera juga pentinguntuk membantu KKM dalam pencegahan dan kawalan COVID-19,” kata Khairy.
Daftar masuk MySejahtera tidak lagi diperlukan untuk memasuki premis mulai 1 Mei 2022. Kemasukan ke premis dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi. Walau bagaimanapun, kes positif COVID-19 dan mereka yang berada di bawah HSO masih tidak dibenarkan memasuki premis. pic.twitter.com/5wBkHkopdy
— KKMalaysia🇲🇾😷 (@KKMPutrajaya) April 27, 2022
Ciri baharu MySejahtera – Hotspot Tracker
Dalam masa yang sama, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan aplikasi MySejahtera akan ditambah baik dengan pengenalan beberapa ciri baharu.
“Hotspot Tracker yang dahulunya digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes COVID-19, kini akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker yang digunakan untuk melihat kawasan titik panas penyakit-penyakit lain.
“Penyakit-penyakit tesebut ialah rabies (penyakit anjing gila), demam campak (measles), penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD) dan denggi. Kawasan ini akan ditentukan berdasarkan jumlah kes aktif di kawasan lingkungan pengguna untuk setiap penyakit berjangkit,” jelasnya.
Khairy menyeru agar rakyat Malaysia mengambil peluang menggunakan fungsi yang ditambah baik ini terutamanya apabila hendak balik ke kampung, berhari raya ke rumah saudara mara atau pergi bercuti.
Ini adalah langkah proaktif bagi mengelakkan daripada mengunjungi kawasan yang berisiko tinggi berlaku penularan penyakit berjangkit, terutamanya jika bersama-sama mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai komorbiditi.
“Saya juga amat menggalakkan persatuan-persatuan komuniti menggunakan fungsi ini untuk membantu dalam mengawal penularan penyakit berjangkit ini di kawasan kediaman masing-masing dengan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong serta pembersihan kawasan perumahan dan perkampungan.”