Hoki: Malaysia mara ke Piala Dunia 2023!

Seri Manjung – Pasukan hoki negara berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia 2023 setelah dibantu oleh kemenangan besar India ke atas Indonesia petang semalam. Ini merupakan penampilan kesembilan buat skuad hoki kebangsaan yang terkenal dengan gelaran ‘Speedy Tigers’ di Piala Dunia.

India selaku tuan rumah Piala Dunia 2023 menewaskan Indonesia dengan keputusan 16-0 juga mara ke pusingan ‘Super 4’ Piala Asia 2022.

Selaku tuan rumah Piala Dunia 2023, India telah layak secara automatik ke kejohanan tersebut, sementara tiga (3) lagi pasukan layak secara merit apabila melangkah ke pusingan ‘Super 4’ Piala Asia 2022.

Tahniah kepada pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi, ketua jurulatih, A. Arulselvaraj, barisan kejurulatihan dan pemain-pemain di atas kejayaan Malaysia melangkah ke Piala Dunia 2023, India.

Malaysia, Jepun dan Korea Selatan berjaya mara ke pusingan ‘Super 4’ Piala Asia 2022, sekaligus mengisi empat (4) kuota yang diperuntukkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bagi pasukan dari benua Asia di kejohanan Piala Dunia 2023, India.

Piala Dunia 2023 dijadualkan akan berlangsung pada 13 hingga 29 Januari 2023 tahun hadapan.

Empat pasukan daripada benua Asia iaitu Malaysia, India, Jepun dan Korea Selatan akan menyertai 12 lagi pasukan yang telah layak ke Piala Dunia 2023 iaitu Belgium, England, Jerman, Belanda, Sepanyol, Perancis, Wales, Afrika Selatan, Argentina, Chile, Australia dan New Zealand.

Hasrat pasukan

Pengendali skuad hoki kebangsaan, A. Arulselvaraj menjelaskan, bagi fasa 2022 hasrat pasukan bimbingannya adalah untuk memenangi kejohanan di peringkat Asia terlebih dahulu dan mahu mengambil langkah demi langkah dalam satu masa.

“Misi pasukan dan misi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) adalah layak untuk ke Piala Dunia 2023, jadi misi tersebut telah tercapai. Kini yang tinggal adalah misi pemain, iaitu hasrat mereka untuk memenangi Piala Asia 2022.

“Kini segalanya terletak kepada pemain untuk menggapai hasrat tersebut demi negara Malaysia dan terutamanya untuk KHM.

“Sukan Asia bagi tahun ini telah ditunda dan ini bermakna Piala Asia 2022 adalah satu-satunya kejohanan yang tinggal di peringkat Asia.

“Matlamat kami beserta mentaliti untuk menang yang kami terapkan, kami mahu memenangi setiap perlawanan yang kami lalui pada tahun 2022 di peringkat Asia,” jelas Arulselvaraj.

Skuad hoki negara akan meneruskan aksi di Piala Asia 2022 dalam pusingan ‘Super 4’ dengan lawan pertama yang menanti mereka adalah Korea Selatan.

Pertemuan tersebut dijadualkan akan berlangsung pada Sabtu, 28 Mei 2022 pada jam 5 petang, waktu Malaysia.

Terdahulu, pasukan hoki negara telah mengesahkan kemaraan ke pusingan ‘Super 4’ Piala Asia 2022 sebagai juara kumpulan setelah menewaskan Oman (7-0), Korea Selatan (5-4) dan Bangladesh (8-1).

Foto | Malaysian Hockey Confederation

The Dindings Ledger

The Dindings Ledger (TDL) adalah portal berita yang diwujudkan oleh beberapa anak muda yang berasal dari Seri Manjung, Perak. Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada penduduk daerah Manjung mengenai perkembangan negara khususnya di daerah Manjung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *