Seri Manjung – Kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) pada minggu epidemiologi (ME) 23/2022 adalah berjulah 13,080 kes. Jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 22.9% berbanding ME 22/2022 yang mencatatkan 16,954 kes.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, tren kes mingguan HFMD menunjukkan penurunan sejak ME 22/2022 selepas bilangan kes mencapai kemuncak tertinggi pada ME 21/2022.
“Bagi tahun 2022, sehingga hari terakhir minggu epidemiologi ME ke-23 pada 11 Jun, sejumlah 95,924 kes telah dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak 36 kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun 2021 (semasa pandemik COVID-19) iaitu 2,654 kes.
Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah iaitu sebanyak 86,230 kes (90%), diikuti kumpulan umur 7 hingga 12 tahun seramai 7,878 kes (8%). Manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu seramai 1,816 kes (2%).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
“Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu 26,799 kes (27.9%). Ia diikuti oleh WP Kuala Lumpur & Putrajaya 10,739 kes (11.2%).
“Perak 9,744 kes (10.2%), Johor 6,326 kes (6.6%) dan Kelantan 6,153 kes (6.4%). Sementara negeri-negeri lain jumlah kes HFMD sekitar atau kurang daripada 5,500 kes,” jelas Tan Sri Dr Noor Hisham.
Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah iaitu sebanyak 86,230 kes (90%), diikuti kumpulan umur 7 hingga 12 tahun seramai 7,878 kes (8%). Manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu seramai 1,816 kes (2%).
Tan Sri Dr Noor Hisham menjelaskan, “Berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) penyebab HFMD di Malaysia, tiga virus utama yang menyebabkan penularan HFMD dalam komuniti pada tahun 2022, adalah Enterovirus 71 (EV71), Coksackie A6 (CA6) dan Coxsackie A16 (CA16).
“Pada tahun 2022, sehingga kini, terdapat tiga kes HFMD yang dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU). Kes pertama dan kes kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) disahkan dijangkiti EV71 dan masih di bawah pemantauan rapi di ICU. Manakala kes ketiga telah pun sihat dan dibenarkan pulang ke rumah.
“Sehingga kini, sebanyak 1,882 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga negeri mencatatkan kejadian wabak tertinggi iaitu WP Kuala Lumpur & Putrajaya 602 wabak (32.0%), diikuti Sarawak 265 wabak (14.1%) dan Selangor 233 wabak (12.4%).
“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tabika, tadika dan pra-sekolah iaitu 1,102 wabak (59%) diikuti oleh rumah persendirian 696 wabak (37%) dan pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 55 wabak (3%),” jelasnya lagi.
Wabak didefinisikan sebagai kejadian kes HFMD dengan jumlah kes dua atau lebih dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.
Walaupun terdapat tren penurunan kes HFMD selama dua minggu berturut-turut, Tan Sri Dr Noor Hisham menasihatkan orang awam perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada dijangkiti HFMD.