Seri Manjung – Kim Pan-gon memulakan kariernya sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak negara dengan langkah kanan apabila berjaya melakar kemenangan 2-0 ke atas Filipina dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura malam tadi.
Ini merupakan kemenangan pertama skuad Harimau Malaya ke atas Filipina dalam enam pertemuan (lima pertemuan seri 0-0) sejak kali terakhir menewaskan negara tersebut 4-0 dalam Kejohanan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada 12 Januari 2007.
Pemain sayap JDT, Muhammad Akhyar Rasid mencuri tumpuan dalam perlawanan semalam dengan menjaringkan kedua-dua gol dalam tempoh 20 minit.
Gol pertama Malaysia hadir pada minit ke-3 menerusi satu hantaran cantik dari pertahanan kiri, Corbin Ong kepada Akhyar Rasid dan kemudiannya memperdayakan seorang pertahanan pasukan lawan sebelum melepaskan satu rembatan deras melalui kaki kanannya yang menewaskan penjaga gol Filipina, Neil Etheridge.
Malaysia terus berusaha untuk menambah jaringan gol, tetapi percubaan Syafiq Ahmad hanya mampu singgah di palang gol Filipina.
Akhyar yang pernah dinobatkan sebagai Pemain Muda Harapan Bola Sepak Kebangsaan pada tahun 2019, sekali lagi membuktikan mengapa dia layak menerima anugerah tersebut dengan menjaringkan gol kedua Malaysia pada minit ke-24.
Gol tersebut berpunca daripada satu gerakan serangan balas pantas yang dimulakan oleh Safiq Rahim yang terus menghantar bola ke Syafiq Ahmad yang sudah bersedia untuk membuat larian ke arah kawasan pasukan lawan. Akhyar ketika itu sudah berlari dari bahagian kiri pasukan negara dan menerima satu hantaran silang yang cantik dari Syafiq Ahmad dan rembatan kaki kirinya itu memastikan namanya terpahat sebagai penjaring gol kedua skuad negara.
Pada separuh masa pertama, Malaysia di bawah ketua jurulatih baru, Kim Pan-gon sedikit sebanyak menunjukkan aksi yang positif dengan corak permainan yang pantas, lebih agresif dan hantaran yang kemas walaupun ada beberapa pemain membuat keputusan yang tidak tepat.
Skuad bimbingan Kim Pan-gon akan bertemu Singapura pada Sabtu ini dan pastinya banyak kerja rumah yang perlu dibuat oleh Pan-gon dan anak-anak buahnya untuk berdepan pasukan tuan rumah yang ternyata lebih tersusun dan agresif.
Aksi terakhir pasukan negara di Singapura adalah bertemu kelab liga tempatan, Albirex Niigata FC pada 28 Mac ini. Tiga perlawanan persahabatan ini merupakan medan persediaan skuad kebangsaan untuk menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 Jun ini.




