FAM ‘lepaskan’ Brad Maloney
Kuala Lumpur – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini telah melepaskan ketua jurulatih B-23 kebangsaan, Brad Maloney atas persetujuan bersama kedua-dua belah pihak.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar sebentar tadi.
Keputusan tersebut dibuat setelah selesai mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi tadi.
Mesyuarat tersebut membentangkan laporan prestasi pasukan kendalian Brad Maloney, 50, pada Sukan SEA 2021 di Vietnam, Mei lalu dan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, Jun lalu.
Brad Maloney mengucapkan terima kasih kepada FAM kerana telah memberi peluang untuk beliau berkhidmat selama lapan tahun sejak 2014 yang mana ia telah banyak membantu dalam meningkatkan karier kejurulatihannya.
Beliau bermula sebagai penolong jurulatih B-23 kebangsaan kepada Datuk Ong Kim Swee sehinggalah dilantik sebagai ketua jurulatih B-19 kebangsaan pada 2019 dan seterusnya ketua jurulatih B-23 kebangsaan.
FAM mengucapkan selamat maju jaya kepada pengendali warga Australia itu dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini.
“Jasa dan sumbangan beliau sepanjang lapan tahun bersama FAM ini akan sentiasa dikenang. Terima kasih,” kata Mohd Saifuddin.
Foto | FAM