Manchester – Pengurus baharu Manchester United, Erik ten Hag percaya bahawa pasukannya boleh menamatkan dominasi Manchester City dan Liverpool dalam saingan domestik di bawah pengurusannya.
Pengurus yang baru tiba dari Ajax itu secara rasminya telah memulakan minggu pertama sebagai pengurus Manchester United pada minggu lepas.
Erik ten Hag pada Ahad telah hadir menyaksikan perlawanan terakhir Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris, dimana pasukan baharunya itu tewas 1-0 kepada Crystal Palace dalam perlawanan tersebut.
Kekalahan tersebut menyebabkan United berada di kedudukan keenam liga dengan kutipan mata paling rendah dalam sejarah penyertaan kelab tersebut dengan 58 mata.
Erik ten Hag bagaimanapun dengan tenang menegaskan bahawa dia akan meletakkan United pada kedudukan asalnya.
Pengendali berusia 52 tahun itu berpandangan bahawa, “City dan Liverpool akan kekal mendominasi kedudukan teratas liga, sehingga salah seorang atau kedua-dua pengurus itu (Pep Guardiola dan Jürgen Klopp) meninggalkan kelab masing-masing.
“Saya amat kagum dengan mereka berdua. Kelab mereka mempunyai corak permainan yang menarik.
“Tetapi anda perlu ingat bahawa, sesuatu era boleh berakhir. Dan saya tidak sabar untuk bertemu Pep Guardiola dan Jürgen Klopp”, kata Erik ten Hag.
Erik ten Hag turut menegaskan bahawa kumpulan pemain yang bakal dikendalikannya ini sebagai kumpulan pemain yang boleh mencabar.
“Musim sebelum ini, skuad ini menduduki tempat kedua, jadi ia mempunyai potensi,” katanya.
“Jika mereka berusaha untuk jadi lebih baik, dan kami (jurulatih-jurulatih) boleh bekerjasama dengan mereka, kami boleh mendapat lebih banyak manfaat daripada mereka berbanding musim ini.
“Pertama sekali, kami mahu membuat peminat bangga. Kedua, sudah tentu pada masa ini keadaan semasa jelas tidak begitu baik. Ia satu cabaran besar. Saya mahu membina pasukan yang akan bersaing antara satu sama lain”.
Ten Hag dalam satu sidang media rasmi dengan media-media tempatan pada Isnin turut menjelaskan perkara mengenai peranan Cristiano Ronaldo.
“Saya akan bercakap dengan Ronaldo terlebih dahulu sebelum bercakap kepada anda (media)”, kata pengurus itu.
Dia juga akan menunggu sehingga pemain Manchester United kembali pada 27 Jun untuk bertemu dengan mereka buat pertama kalinya.
“Mereka memerlukan rehat dan menilai sendiri persembahan musim ini. Saya akan bercakap dengan pemain pada penghujung bulan Jun dan minggu pertama Julai,” katanya kepada pemberita.
United turut mengesahkan bahawa Steve McClaren dan Mitchell van der Gaag akan menjadi sebahagian daripada kakitangan kejurulatihan Erik ten Hag sepanjang tempoh “projek” ini berlangsung.
Foto | UtdDistrict