Elavarasan penolong Kim Pan Gon

Seri Manjung – Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon mengesahkan bahawa E. Elavarasan sebagai penolong jurulatih dalam barisan kejurulatihan Harimau Malaya kendaliannya.

kim pan gon
Ketua jurulatih Harimau Malaysia, Kim Pan Gon.

Pemilihan jurulatih berusia 60 tahun kelahiran Selangor itu menepati kriteria utama yang dikehendaki Kim Pan Gon sendiri iaitu seorang jurulatih yang berpengalaman luas dengan suasana bola sepak tempatan dan mengenali pemain-pemain yang sedang beraksi dalam kancah Liga Super dan Liga Premier.

“Selepas meneliti calon-calon yang telah ditemu duga oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell sebelum ini, saya sendiri telah bertemu Elavarasan untuk menemu duga beliau yang mana saya melihat dia sebagai calon terbaik dan individu paling sesuai untuk membantu saya dalam memberi informasi tepat, nasihat dan pendapat serta beberapa perkara lain,” kata Kim Pan Gon.

“Saya juga melihat Elavarasan sebagai seorang jurulatih yang jujur, komited dan beliau sedia untuk memberi sepenuh kerjasama dalam usaha membantu kami barisan kejurulatihan baharu ini mengembalikan skuad Harimau Malaya ke satu tahap prestasi yang lebih baik,” kata Pan Gon memetik laporan media rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kelmarin.

Bagi Elavarasan, pelantikannya ini merupakan satu penghormatan bagi dirinya. Ini kerana, beliau belum pernah terbabit dengan mana-mana pasukan kelolaan FAM.

Kata Elavarasan, “Saya melihat tugasan ini sebagai satu cabaran dan juga peluang untuk saya menyumbang di peringkat kebangsaan. Saya gembira diberi peluang terbabit dalam projek Pan Gon.”

“Saya berharap semua anggota kejurulatihan di bawah seliaan Pan Gon dapat mencipta keserasian dengan segera untuk menghadapi tugasan utama tidak lama lagi,” tambahnya lagi.

Pada sidang media pertama Kim Pan Gon pada 17 Februari 2022, beliau yang berasal dari Korea Selatan telah memperkenalkan barisan kejurulatihannya dalam mengemudi skuad Harimau Malaya yang terdiri daripada Pau Marti Vicente dari Sepanyol (penolong jurulatih), Cho Junho dari Korea Selatan (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir dari Turki (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun dari Korea Selatan (jurulatih analisis prestasi).

jurulatih HM
Barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya yang baru bersama Kim Pan Gon.

Skuad kebangsaan akan dijadualkan kembali ke kem latihan pusat pertama mereka di bawah kendalian Kim Pan Gon pada 14 Mac ini bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa bertemu Filipina pada 23 Mac dan Singapura pada 26 Mac 2022, kedua-duanya akan bermain di Singapura.

Gambar: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

The Dindings Ledger

The Dindings Ledger (TDL) adalah portal berita yang diwujudkan oleh beberapa anak muda yang berasal dari Seri Manjung, Perak. Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada penduduk daerah Manjung mengenai perkembangan negara khususnya di daerah Manjung.