E-Visa umrah – Jemaah Malaysia wajib guna imbasan biometrik
Seri Manjung – Jemaah Malaysia antara yang diwajibkan menggunakan imbasan biometrik bagi mendapatkan visa umrah elektronik (E-Visa).
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi semalam (Ahad) telah mengumumkan bahawa, jemaah umrah dari lima negara iaitu Malaysia, Kuwait, Bangladesh, Tunisia dan United Kingdom adalah negara yang wajib menyediakan data biometrik masing-masing merangkumi cap jari.
Jemaah hanya perlu menggunakan aplikasi Saudi Visa Bio yang membolehkan pendaftaran secara pengesahan biometrik merangkumi wajah, cap jari, mata dan salinan pasport untuk menghadiri ibadah umrah, jelas kementerian tersebut.
Penggunaan aplikasi terbaharu itu merupakan komitmen kerajaan Arab Saudi untuk membenarkan pendaftaran biometrik menerusi peranti mudah alih, sekaligus menjadikannya antara yang pertama di dunia menerima pengesahan biometrik menerusi telefon pintar untuk pengeluaran visa.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut menjelaskan bahawa inisiatif ini dicipta bagi memudahkan urusan jemaah yang ingin ke Mekah tanpa perlu mengunjungi pejabat visa secara fizikal.