De Paula pilihan Kim Pan Gon
Seri Manjung – Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon menyenaraikan penyerang ‘kesayangan’ negara, Guilherme De Paula dalam senarai 23 pemain yang akan menghadapi saingan kelayakan Piala Asia 2023 yang akan bermula Rabu ini.
Senarai 23 pemain terbaik yang telah dipilih oleh Kim Pan Gon ini telah menjalani latihan pusat sejak 20 Mei lalu dan dinilai melalui beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini.
Antara nama-nama yang digugurkan oleh Pan Gon ialah penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Afiq Fazail, Kogileswaran Raj, Shahrul Nizam Ros Hasni, Liridon Krasniqi dan Norshahrul Idlan Talaha.
Manakala Syahmi Safari telah dilepaskan daripada kem latihan pusat pada 31 Mei lalu kerana masalah kesihatan.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa yang sama mengucapkan terima kasih atas komitmen yang telah diberikan oleh para pemain ini di sepanjang kem latihan pusat sejak 20 Mei lalu.
Pemain yang tidak terpilih ini tetap akan berada dalam senarai bersedia sekiranya penggantian pemain perlu dilakukan.
Skuad Harimau Malaya akan memulakan misi untuk layak ke Piala Asia 2023 pada Rabu ini, 8 Jun, bertemu Turkmenistan, Bahrain pada 11 Jun dan Bangladesh pada 14 Jun dengan kesemua aksi berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.