Cuaca sejuk diramal sehingga Februari 2023
Seri Manjung – Malaysia dijangka mengalami cuaca dingin dan nyaman dengan bacaan suhu purata harian di antara 22 – 30 darjah Celcius sehingga Februari 2023 tahun hadapan.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip.
“Fenomena ini adalah susulan dari Monsun Timur Laut (MTL) yang membabitkan perubahan angin sejuk dari tanah besar China dan pembentukan awan hujan yang berterusan bermula awal November.
“Jadi apabila terbentuknya awan hujan yang banyak, pancaran matahari akan terlindung dan menyebabkan suhu akan lebih rendah berbanding hari-hari yang lain.
“Kawasan tanah rata di pedalaman Perak, Kelantan dan Pahang dijangka menjadi lebih sejuk berbanding kawasan-kawasan lain.
“Kuala Krai pernah merekodkan suhu di antara 17 – 18 Celsius pada tahun 2014 dan berkemungkinan akan mengalaminya sekali lagi”, tambahnya.