Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, prosedur operasi standard (SOP) untuk kontak rapat Covid-19 akan diumumkan pada minggu hadapan.
Ia diumumkan setelah bilangan kes kontak rapat semakin meningkat sejak menularnya varian Omicron di dalam negara ini.
Pada hari Selasa yang lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah telah mengeluarkan satu pekeliling untuk semua pekerja kesihatan yang menjadi kontak rapat – berisiko rendah adalah apabila kedua-dua pesakit dan kontak rapat kedua-duanya memakai pelitup muka – dan tidak bergejala tidak perlu menjalani isolasi, tetapi hanya perlu membuat ujian kendiri Covid-19 pada hari-hari yang tertentu.
Apabila terlalu banyak kes kontak rapat dan isolasi berlaku, ia akan memberi kesan terhadap pengurusan pekerjaan dan gangguan kepada ekonomi.
Untuk pengetahuan, SOP terkini bagi mereka yang telah divaksin sepenuhnya serta telah menerima suntikan penggalak dan menjadi kontak rapat hanya perlu menjalani kuarantin selama lima hari.
Manakala bagi mereka yang telah divaksin sepenuhnya tetapi belum mendapatkan suntikan penggalak perlu dikuarantin selama tujuh hari.
Dan bagi mereka yang belum menerima apa-apa vaksin Covid-19 termasuk suntikan penggalak akan diasingkan selama 10 hari.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkongsi berkenaan tempoh isolasi di Twitter:
Tempoh Isolasi Bagi Kes COVID-19 Dan Tempoh Kuarantin Bagi Kontak Rapat Mengikut Status Vaksinasi COVID-19, berkuat kuasa 17 Februari 2022. pic.twitter.com/Bb4puOs5ni
— KKMalaysia🇲🇾 (@KKMPutrajaya) February 17, 2022
Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.