Kuala Lumpur – Kes Covid-19 dalam negara terus mencatatkan peningkatan dengan jumlah 11,034 jangkitan dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu. Kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melalui laman sosial Twitter rasminya. Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan hari ini adalah 2,925,254.
Ini merupakan hari kedua kes mencatatkan lima angka digit selepas semalam Ahad, 6 Februari 2022 dengan 10,089 jangkitan. Kali terakhir negara mencatatkan kes lima angka adalah pada 2 Oktober 2021, kira-kira empat bulan yang lalu.
Menurut kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), peningkatan kes yang mendadak ini adalah disebabkan oleh penularan varian Omicron yang lebih mudah merebak. Negara-negara lain di seluruh dunia juga mengalami peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang amat ketara dan ianya sudah dijangka.
Kes Covid-19 dalam negara terus mencatatkan peningkatan dengan jumlah 11,034 jangkitan dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 7 Februari 2022 setakat jam 12 tengah hari. Kes sembuh sebanyak 6,036 kes (2,818,650 kes kumulatif, 96.4%), kes baharu berjumlah 11,034 kes (2,925,254 kes kumulatif). Manakala kes import sebanyak 77 kes, membabitkan 43 warganegara (55.8%) dan 34 bukan warganegara (44.2%). Bagi kes tempatan pula sebanyak 10,957 kes. Ia melibatkan 10,774 warganegara (98.3%) dan 183 bukan warganegara (1.7%).
Bagi kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 135 kes (84 kes disahkan COVID-19 dan bakinya 51 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan). Untuk yang memerlukan bantuan pernafasan berjumlah 81 kes (38 kes disahkan COVID-19, 43 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.
Setakat hari ini, 7 Februari 2022, jumlah kluster Covid-19 adalah 6,509 kluster. Ini melibatkan 10 kluster baharu, jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,143 kluster dan jumlah kluster yang masih aktif iaitu 366 kluster.
Daripada 11,034 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 58 kes (0.5%) adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 10,976 kes (99.5%) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.