PPV_Covid19

Covid-19: 31,199 kes baharu, 55 kematian

Berita

Seri Manjung – Sebanyak 31,199 kes baharu Covid-19 dicatatkan pada hari ini dengan menjadikan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 adalah berjumlah 3,305,157 kes. Ini merupakan jumlah kes jangkitan paling tinggi sejak bermulanya pandemik Covid-19 di Malaysia.

Jumlah kes jangkitan terbaharu itu melibatkan 31,080 kes tempatan dan 119 kes import. Untuk pesakit dalam kategori 1 dan 2, jumlah jangkitan adalah sebanyak 31,005 (99.38%) kes, manakala selebihnya yang berjumlah 194 (0.62%) kes dalam kategori 3, 4 dan 5.

Kes Covid-19 yang masih aktif untuk setakat hari ini adalah sebanyak 277,829 kes dengan 265,339 (95.5%) dari jumlah itu sedang menjalani kuarantin secara sendirian. Pesakit yang sembuh berjumlah 20,399 dan menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 2,994,840.

Bagi kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) adalah sebanyak 305 kes dan 191 lagi memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sejumlah 55 kes kematian akibat Covid-19 turut direkodkan, ini termasuk 23 kes kematian sebelum tiba ke hospital dan jumlah kematian keseluruhan adalah sebanyak 32,488 orang.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.