Covid-19: 24,466 kes baharu, 40 kematian
Seri Manjung – Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan sebanyak 24,466 kes baharu Covid-19 pada semalam dan menjadikan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 berjumlah 3,419,636 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham berkata, jumlah jangkitan terbaru itu melibatkan 24,220 kes tempatan dan 246 kes import. Untuk pesakit dalam kategori 1 dan 2, jumlah jangkitan adalah sebanyak 24,361 (99.57%) kes, manakala selebihnya yang berjumlah 105 (0.43%) kes dalam kategori 3, 4 dan 5.
Tambah Tan Sri Dr. Noor Hisham lagi, sebanyak 22,380 kes telah sembuh dan menjadikan jumlah keseluruhannya adalah sebanyak 3,085,940 kes. Untuk kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) adalah sebanyak 353 kes dan 193 lagi memerlukan bantuan alat pernafasan.
Berdasarkan data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), lima kluster baharu telah dikenal pasti dan kluster yang masih aktif adalah sebanyak 484 kluster. Dan jumlah kluster yang telah tamat adalah sebanyak 6,295 kluster.
Sejumlah 40 kes kematian akibat Covid-19 turut direkodkan, ini termasuk 17 kes kematian sebelum tiba ke hospital dan jumlah kematian keseluruhan adalah sebanyak 32,674 kematian.
Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada setiap hari.