Covid-19: 23,100 jangkitan terbaharu
Seri Manjung – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 23,100 kes baharu Covid-19 pada semalam dan menjadikan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 berjumlah 3,442,736 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham memaklumkan, jumlah jangkitan terbaharu itu melibatkan 22,802 kes tempatan [22,150 warganegara (97.1%); 652 bukan warganegara (2.9%)] dan 298 kes import [262 warganegara (87.9%); 36 bukan warganegara (12.1%)].
Bilangan pesakit dalam kategori 1 dan 2 berjumlah sebanyak 22,914 kes (99.19%), manakala jumlah pesakit dalam kategori 3, 4 dan 5 adalah 186 kes (0.81%)
Tan Sri Dr. Noor Hisham turut menyatakan jumlah kes sembuh adalah sebanyak 30,624 kes dan menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 3,116,546 kes.
Bagi kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) adalah sebanyak 361 kes dan 193 lagi memerlukan bantuan alat pernafasan.
Mengenai penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di hospital-hospital, Tan. Sri Dr. Noor Hisham berkata lapan negeri menunjukkan peratusan pengisian 50% atau lebih iaitu Sabah sebanyak 53%, Perlis 55%, Perak 58%, Kuala Lumpur 65%, Putrajaya 67%, Melaka 61%, Johor 63% dan Kelantan 70%.
Berdasarkan data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tiga kluster baharu telah dikenal pasti dan kluster yang masih aktif adalah sebanyak 480 kluster. Dan jumlah kluster yang telah tamat adalah sebanyak 6,302 kluster.