Charles Leclerc petak pertama Grand Prix Azerbaijan
Baku – Charles Leclerc berada di belakang rakan sepasukannya Carlos Sainz pada awal sesi Q3, tetapi mencatatkan masa yang begitu baik pada minit-minit terakhir sesi tersebut.
Leclerc mencatatkan masa 1 minit 41.359 saat untuk mengatasi dua pemandu Red Bull Sergio Perez (kedua-1:41.641s) dan Max Verstappen (ketiga-1:41.706s).
Rakan sepasukan Charles Leclerc, Carlos Sainz yang mencatatkan masa terpantas pada sesi awal Q3, terpaksa berpuas hati di petak keempat dengan catatan masa 1:41.814 saat, 0.9 saat lebih pantas dari George Russell (petak kelima) yang memandu Mercedes W13.
Kedua-kedua pemandu Ferrari menguasai sektor pertama dan kedua di Litar Bandar Baku yang mempunyai selekoh perlahan dan laju walaupun jentera RB18 0.2 saat lebih pantas di garisan lurus.
“Saya rasa prestasi kereta berada pada tahap terbaik untuk sesi kelayakan.
“Saya tidak menjangkakan petak pertama, kerana Red Bull lebih pantas dari kami pada sesi ujian bebas.
“Untuk sesi Q1 dan Q2 saya bergelut dengan diri dan kereta untuk menjadi lebih pantas.
“Saya sungguh gembira. Walaubagaimanapun, strategi pasukan dan pengurusan tayar memainkan peranan penting untuk perlumbaan nanti,” kata pemandu kelahiran Monaco itu.
Pendahulu kejuaraan yang juga juara bertahan, Max Verstappen begitu kecewa apabila gagal berada di barisan hadapan tetapi optimis akan Red Bull boleh memberikan saingan dan menang di Baku.
“Permulaan sesi kelayakan yang bagus, tetapi selepas itu semuanya datang dari silap saya sendiri,” kata Verstappen.
Grand Prix Azerbaijan akan mula pada jam 3 petang waktu tempatan hari ni.
Keputusan sesi kelayakan:
1. Charles Leclerc (Ferrari) 1:41.359
2. Sergio Perez (Red Bull) +0.282s
3. Max Verstappen (Red Bull) +0.347s
4. Carlos Sainz (Ferrari) +0.455s
5. George Russell (Mercedes) +1.353s
6. Pierre Gasly (AlphaTauri) +1.486s
7. Lewis Hamilton (Mercedes) +1.565s
8. Yuki Tsunoda (AlphaTauri) +1.697s
9. Sebastian Vettel (Aston Martin) +1.732s
10. Fernando Alonso (Alpine) +1.814s