Charles Leclerc juarai GP Bahrain, 1-2 Ferrari
Manama – Era baharu Formula 1 telah membuka tirai dengan GP bahrain menjadi saksi pertama drama, kejayaan, kebangkitan dan suka duka untuk kesemua pasukan yang bertanding tahun ini.
Charles Leclerc mengetuai kemenangan 1-2 pasukan yang terkenal dengan jolokan The Prancing Horse dengan rakan sepasukannya Carlos Sainz menduduki tempat kedua setelah memintas juara dunia 2021, Max Verstappen yang mengalami masalah sistem bahan api ketika saingan hanya tinggal beberapa pusingan.

Leclerc yang berusia 24 tahun itu mendahului setiap pusingan di Litar Antarabangsa Bahrain sejak dari mula perlumbaan. Pemanduan yang sungguh dominan serta dibantu oleh krew pit dan jentera yang hampir sempurna sejak ujian pra-musim cukup membuktikan bahawa Charles Leclerc, Carlos Sainz dan Ferrari mampu membuktikan sesuatu pada musim ini.
“Dua tahun kebelakangan ini ia amat sukar untuk pasukan,” kata Leclerc.
“Hari ini kami mulakan musim dengan cara yang terbaik. Kami peroleh petak pertama, diikuti dengan kemenangan, catatan pusingan masa terpantas, 1-2 bersama Carlos Sainz dan kami tidak boleh mengharapkan yang lebih baik,” tambahnya lagi yang meraikan kemenangan ketiga dalam karier sebagai pemandu Formula 1.

Bagi Carlos Sainz pula, pasukan yang berpangkalan di Maranello ini sepatutnya mendapatkan keputusan yang baik. “Ferrari perlu kembali dengan keputusan 1-2, di mana pasukan ini sepatutnya berada,” katanya.
Sementara itu, juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton dan rakan sepasukannya, George Russell dari Mercedes pula berada tempat ketiga dan keempat selepas bergelut dengan jentera masing-masing dan mencari rentak sepanjang perlumbaan tersebut.
Berikut adalah keputusan GP Bahrain:
What an incredible start to the season that was! 😱#BahrainGP #F1 pic.twitter.com/5psskLx9cY
— Formula 1 (@F1) March 20, 2022
Foto | Scuderia Ferrari