charles leclerc

Charles Leclerc juarai GP Australia

Fomula 1 Sukan

Melbourne – Pemandu Ferrari, Charles Leclerc tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengetuai, mendahului dan menjuarai Grand Prix Australia yang tamat sebentar tadi.

Charles Leclerc dan jentera F1-75 nya itu mendominasi Grand Prix Australia sejak dari awal hingga ke akhir perlumbaan ketika pencabar utamanya, Max Verstappen sekali lagi tidak dapat menamatkan perlumbaan setelah mengalami masalah pada unit kuasa jenteranya.

F1-75 yang dipandu Charles Leclerc seakan tidak dapat dikejar sejak pusingan pertama oleh mana-mana pelumba. Leclerc mendahului Verstappen dengan kelebihan 3.5 saat pada pusingan ke-12, setengah saat lebih pantas daripada pelumba Belanda itu bagi setiap pusingan.

“F1-75 sangat menajubkan pada hari ini. Perlumbaan yang begitu pantas hari ini.

“Saya melakukan tugas yang baik sepanjang hujung minggu ini, tetapi ianya tidak mungkin tanpa kereta ini. Saya sungguh gembira.

“Jelas sekali kami telah melalui tiga perlumbaan, dan sangat sukar untuk tidak memikirkan kejuaraan. Tetapi kami mempunyai kereta yang sangat bagus dan yang boleh dipercayai,” kata Leclerc selepas mencatat kemenangan ke-4 dalam karier dan keduanya musim ini.

Charles Leclerc (depan) mendahului Grand Prix Australia sejak perlumbaan bermula.

Rakan sepasukan Leclerc, Carlos Sainz yang bermula di petak ke-9 bagaimanapun tidak menamatkan perlumbaan setelah mengalami masalah pada stereng jenteranya. Sainz terbabas dan berpusing di selekoh ke-10 ketika cuba memintas Mick Schumacher.

“Jentera sekali lagi mengalami masalah dengan stereng, masalah yang sama seperti semalam (sesi kelayakan). Terdapat beberapa butang yang tidak berfungsi.

“Kami terpaksa menukar stereng dan ini bermakna stereng berada pada kedudukan yang tidak baik untuk perlumbaan,” jelas Carlos Sainz.

Sergio Perez yang memandu Red Bulls berada di tempat kedua dan George Russell memperoleh podium pertamanya sebagai pemandu Mercedes apabila dia menduduki tempat ketiga di hadapan rakan sepasukannya, Lewis Hamilton yang bergelut dengan masalah tayar dan enjin keretanya sepanjang perlumbaan berlangsung.

Foto | Scuderia Ferrari

Foto | Twitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *