carlos sainz

Carlos Sainz ketuai 1-2 Ferrari sesi latihan pertama

Fomula 1 Sukan

Melbourne — Carlos Sainz mengetuai 1-2 Ferrari dalam sesi latihan pertama pada jam 1 tengah hari, Jumaat, waktu tempatan sempena Grand Prix Australia Ahad ini.

Carlos Sainz melengkapkan waktu pusingan terpantas di Litar Albert Park yang telah diubahsuai dalam masa 1 minit, 19.806 saat dengan pendahulu kejuaraan, Charles Leclerc 0.571 saat di belakang.

Pemandu Red Bull, Sergio Perez dan rakan sepasukan yang juga juara bertahan Formula 1, Max Verstappen berada di tempat ketiga dan keempat terpantas menjelang sesi latihan kedua pada lewat Jumaat.

Sesi latihan ketiga dijadualkan akan berlangsung Sabtu (esok) pada jam 1 tengah hari waktu tempatan yang juga merupakan sesi latihan ketiga (terakhir) sebelum sesi kelayakan pada menjelang lewat petang untuk perlumbaan pada Ahad.

Juara tujuh kali Formula 1, Lewis Hamilton dan jentera Mercedesnya sekadar mampu berada di tempat ketujuh terpantas.

Harapan peminat tempatan pula tertumpu ke arah Daniel Ricciardo yang berada di tempat kelapan bersama jentera McLaren yang dipandunya.

Charles Leclerc dan Max Verstappen telah memenangi dua perlumbaan awal musim ini di Bahrain dan Arab Saudi.

Litar Albert Park telah diubahsuai di mana lima selekoh telah diprofilkan semula dan dua telah dialih keluar. Ini bermakna, waktu sepusingan akan menjadi 5 saat lebih cepat dari yang sebelumnya.

Sesi latihan pertama berlangsung pertama kalinya setelah 756 hari Litar Albert Park tidak menganjurkan perlumbaan Formula 1 pada tahun 2020 yang dibatalkan akibat pandemik COVID-19.

Foto | Scuderia Ferrari