Seri Manjung – Teknik ‘spin serve’ telah dilarang sementara di semua kejohanan yang diiktiraf oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkuat kuasa serta-merta sehingga 29 Mei ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh BWF semalam, larangan itu berkuatkuasa bermula Kejohanan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China yang bermula Ahad ini sehingga 21 Mei serta Malaysia Masters di Arena Axiata, Bukit Jalil dari 23 hingga 28 Mei ini.
‘Spin serve’ merupakan teknik servis yang menyukarkan pihak lawan untuk menerima dan membalas bulu tangkis.
Servis ini diperkenalkan oleh pemain beregu lelaki Denmark, Marcus Rindshoj pada perlawanan pusingan kedua Terbuka Poland 2023, pada Mac lalu.
‘Sspin serve’ ialah teknik di mana pemain memegang bulu tangkis dan menguis dengan jari hantu sebelum memukul dengan raket sekaligus menambah putaran dan menyukarkan lawan untuk membalas pukulan.
BWF berkata, majlis badan induk dunia itu telah meluluskan keputusan bahawa pemain hanya boleh melepaskan bulu tangkis tanpa menambah putaran sebelum melakukan pukulan.
Presiden BWF, Poul-Erik Hoyer, berkata mereka telah menerima maklum balas daripada komuniti badminton, termasuk Suruhanjaya Atlet BWF, bahawa servis itu boleh memberi kesan negatif kepada permainan.
“Bila diteliti secara halus, ’ain serve’ ini mempunyai ciri-ciri dan karakter yang serupa dengan ‘servis Sidek’ yang telah diharamkan penggunaannya pada tahun 1982.
“Oleh itu, panel pakar mengesyorkan untuk tidak membenarkan teknik ini sehingga rundingan lanjut dengan semua negara anggota badan dunia itu pada mesyuarat agung tahunan BWF pada 27 Mei 2023 ini.
“BWF juga mahu mengelak senario di mana kejohanan Piala Sudirman akan datang dan kejohanan antarabangsa yang lain akan dijadikan platform untuk menguji servis ini sekaligus mengganggu pertandingan.
“BWF merasakan adalah terbaik untuk mengenakan larangan variasi eksperimen ‘spin serve’ sehingga BWF bersidang semula pada 29 Mei untuk perbincangan lanjut.”