Seri Manjung – Seramai 21,959 penduduk daripada 6,499 keluarga telah dipindahkan ke 218 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Terengganu dan Kelantan setakat jam 5.30 petang hari ini. Jumlah tersebut telah dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di laman sesawang, portalbencana.nadma.gov.my.
Berdasarkan data yang telah dikeluarkan oleh NADMA, sebanyak 56 PPS telah dibuka di Kelantan dengan menempatkan seramai 8,075 mangsa terdiri daripada 2,573 buah keluarga. Manakala di Terengganu pula, seramai 14,431 mangsa terdiri daripada 3,926 keluarga telah dipindahkan ke 167 PPS.
Setakat hari ini, lima daerah di Terengganu merekodkan bilangan mangsa banjir melebihi 1000 orang mangsa dengan daerah Kemaman mencatatkan angka tertinggi iaitu 4200 mangsa, diikuti Hulu Terengganu 3600 mangsa, Dungun 1900 mangsa, Besut 1500 mangsa dan Setiu sebanyak 1200 mangsa.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman sesawangnya publicinfobanjir.water.gov.my, telah mengemas kini maklumat terbaru mengenai paras air di beberapa sungai di negeri Terengganu dan Kelantan pada jam 5.45 petang tadi.
Setakat ini di Terengganu, empat sungai yang berada di paras berbahaya adalah Sungai Nerus, Sungai Terengganu, Sungai Dungun dan Sungai Kemaman. Manakala di Kelantan hanya Sungai golok dan Sungai Kelantan berada pada paras berbahaya. Penduduk yang berada di sepanjang sungai-sungai yang disenaraikan tadi diminta untuk berjaga-jaga dan segera berpindah ke PPS yang berdekatan sekiranya air sungai telah melimpah.