YDPA & Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia ke-10!

Berita Terkini

Seri Manjung – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara sekitar jam 5 petang tadi.

Perlantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada sebelah pagi.

“Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Istana Negara petang tadi.

“Ia selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” demikian menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin melalui satu kenyataan siang tadi

Ahmad Fadil juga berkata, Seri Paduka Baginda mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.

“Justeru, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka yang mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya. Harta pusaka ini perlu dijaga kerana ia bakal diwarisi oleh generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan,” ujarnya.

Berikut adalah kenyataan media yang lengkap dari Istana Negara:

Foto | Anuar Ibrahim | Istana Negara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *