benzema

Ancelotti puji Benzema

Bola Sepak Sukan

MADRID – Carlo Ancelotti memuji Karim Benzema sebagai “ketua yang hebat” selepas hatrik sensasi dari penyerang Real Madrid itu menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) daripada Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

PSG sudah kelihatan cerah untuk ke suku akhir apabila Kylian Mbappe meletakkan mereka dengan agregat 2-0 pada lewat separuh masa pertama.

Tetapi pasukan Los Blancos bangkit pada babak kedua dan berterima kasih kepada hatrik Karim Benzema – yang kedua dan ketiga datang dalam masa hanya 106 saat.

Hatrik tersebut menyaksikan dia menjadi penjaring hatrik tertua dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah (34 tahun dan 80 hari), 17 hari lebih tua daripada Olivier Giroud pada Disember 2020 ketika Chelsea menentang Sevilla.

Dengan tiga jaringan tersebut menyaksikan Benzema mengatasi seorang lagi lagenda, Madrid, Alfredo Di Stefano ke tempat ketiga dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Madrid dengan 309 gol.

Ancelotti memuji penyerangnya itu apabila Madrid berjaya mengatasi defisit gol pada perlawanan pertama dalam perlawanan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

“Karim Benzema adalah ketua dan penyerang yang hebat,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.

“Saya sangat gembira dengan apa yang dia lakukan dan sikapnya.

“Selepas gol pertama, kami bermain dengan baik, kami menekan dan mengawal bola dengan kemas. Kami mengalami sedikit kesukaran pada separuh masa kedua berbanding babak pertama.

“Pada waktu rehat separuh masa, kami berkata kepada diri sendiri bahawa kami perlu kekal dalam permainan, walaupun ia sukar, memikirkan keajaiban yang boleh berlaku.

“PSG adalah pasukan yang hebat dengan pemain yang hebat, tetapi inilah bola sepak, setiap perkara kecil boleh mengubah segala-galanya seperti gol pertama itu.”

Pengurus PSG, Mauricio Pochettino bertegas bahawa gol pertama Madrid sepatutnya dibatalkan kerana kekasaran Benzema terhadap penjaga gol Gianluigi Donnarumma, tetapi Ancelotti tidak bersetuju dengan pengurus pasukan lawannya.

“Kami menghadapi banyak kesukaran, tetapi kami bertahan. Sukar untuk mengawal bola, kami cuba mengasak kemudian asakan dan tekanan yang dibuat oleh Karim Benzema memberi kami peluang untuk memenangi perlawanan. Sepanjang setengah jam terakhir, hanya ada satu pasukan yang berada di atas padang.”

Gol ketiga Benzema mencetuskan suasana gempita di Santiago Bernabeu, dengan Ancelotti menyifatkan stadium itu sebagai “menakjubkan”.

“Saya telah bermain banyak perlawanan dalam kejohanan ini dan banyak perlawanan sukar seperti ini,” tambahnya.

“Stadium ini mempunyai keajaiban, ia mempunyai sejarah yang sangat indah dan itulah yang berlaku. Semoga ia bukan malam terakhir seperti ini.”

Madrid akan kembali ke aksi domestik pada Isnin apabila mereka berkunjung ke Real Mallorca.